suria

Jururawat kejut pukul 4 pagi, suruh mandi wiladah... Ibu baru bersalin kena ambil tahu masa sebenar angkat hadas besar

Mandi wiladah dan nifas wajib ke atas wanita yang melahirkan. -Gambar hiasan

MANDI wiladah dan nifas sering mejadi kekeliruan bagi segelintir para wanita beragama Islam, terutama mereka yang pertama kali bergelar ibu.

Berkongsi pengalaman, seorang wanita yang baru melahirkan anak secara pembedahan atau czer terkejut apabila diarahkan oleh jururawat untuk melaksanakan mandi wiladah, iaitu mandi bagi ibu yang lepas bersalin.

Petugas perubatan itu meminta wanita berkenaan mandi pada pukul 4 pagi.

Malah kata wanita itu, ketegasan jururawat di wad bersalinnya itu seolah-olah tidak wajar.

Situasi yang dialaminya menyebabkan warga maya tampil dengan pelbagai pandangan peribadi berhubung keperluan mandi wiladah dan nifas.

Sesetenganya beranggapan ibu yang melahirkan perlu mandi wiladah terlebih dahulu manakala mandi nifas selepas berhentinya darah.

Terdapat warga maya yang menyatakan kewajipan untuk mandi wiladah.

Terdapat warga maya yang menyatakan kewajipan untuk mandi wiladah.

Menjelaskan mengenai situasi tersebut, Mufti Wilayah Persekutuan dalam laman webnya berkongsi hukum mandi wajib yang dihuraikan daripada kitab Fiqh al-Manhaji (1/82).

“Al-Wiladah bererti bersalin. Kadang-kadang bersalin anak itu tidak diikuti dengan keluarnya darah (nifas), namun hukum bagi wanita pada keadaan itu sama dengan hukum janabah. Ini kerana anak yang lahir itu ialah hasil gabungan air mani wanita dan lelaki.

“Hukumnya tetap sama walaupun berbeza (bentuk) kandungan yang dilahirkan atau cara melahirkannya. Apabila kelahiran anak diikuti dengan keluarnya darah seperti kebiasaan perempuan yang melahirkan anak, darah tersebut dinamakan nifas yang mempunyai beberapa hukum tertentu,” katanya.

Daripada keterangan di atas, terdapat beberapa perkara yang boleh difahami iaitu antaranya ialah kebiasaan bagi wanita bersalin akan keluar darah nifas hingga mewajibkan mereka mandi wajib.

Malah jika wanita itu bersalin tanpa darah apa pun, berdasarkan pandangan dalam mazhab Syafie, wanita itu tetap dikira berhadas besar dan wajib mandi.

Selain itu jika kandungan yang dilahirkan itu berbentuk alaqah (gumpalan darah), atau mudghah (gumpalan daging) seperti dalam kes keguguran, tetap dikira wiladah dan wajib mandi.

Begitu juga kelahiran cesarean, yakni kandungan keluar bukan daripada faraj wanita tetapi melalui pembedahan di kawasan abdomen, tetap mewajibkan mandi.

Sementara itu turut menjadi tanda tanya ialah apabila seseorang wanita itu bersalin dan bernifas, adakah dia perlu mandi dua kali; pertama akibat wiladah dan kedua akibat nifas?

Jawapannya ialah tidak perlu kerana memadai mandi dengan sekali sahaja.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Mu’tamad (1/137) menjelaskan:

“Jikalau terhimpun ke atas seorang wanita kewajipan mandi hadas haid dan janabah (seperti jimak dan keluar mani), memadailah baginya dengan niat (mandi mengangkat hadas) salah satu daripada keduanya.

“Begitu juga seorang yang berjunub kemudian mati, dan orang yang berjunub kemudian haid, maka memadai bagi dua keadaan itu terangkat hadas dengan satu kali mandi.

“Sama juga jika seseorang itu berjunub, kemudian berhaid dan akhirnya dia mati, cukup bagi wanita itu satu kali mandi untuk kesemua keadaan (hadas besar) itu.”

Menjelaskan tentang waktu untuk mandi wajib akibat wiladah dan nifas, seseorang wanita itu disarankan untuk berbuat demikian apabila berhenti keluarnya darah nifas dalam keadaan naqa’.

"Yakni jika dimasukkan kapas ke dalam faraj lalu dikeluarkan, tidak ada kesan-kesan darah, kekeruhan atau kekuningan. Jika darah sudah berhenti tetapi jika dimasukkan kapas masih dilihat kesan darah, warna keruh atau kekuningan, maka itu adalah keadaan fatrah yang menunjukkan masih dalam keadaan bernifas," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain