suria

Umat Islam perlu banyak berzikir ketika berada di pasar, mufti ulas kenapa tempat ini dibenci Allah

Pasar merupakan tumpuan orang ramai untuk membeli keperluan harian.

PASAR merupakan tempat yang menjadi tumpuan khalayak untuk membeli barangan basah keperluan harian seperti ikan, ayam, daging , makanan laut dan aneka sayuran.

Namun, seorang individu menarik perhatian ramai apabila mengajukan soalan adakah benar pasar merupakan tempat yang dibenci oleh Allah SWT.

Keraguannya itu dijawab oleh pejabat Mufti Wilayah Persekutuan secara jelas menerusi portalnya.

Diceritakan dalam al-Quran, dunia diibaratkan sebagai tempat persinggahan sementara bagi manusia untuk mengumpulkan amalan dan akan dibawa ke akhirat yang kekal.

Justeru sebagai orang beriman, kita perlu memanfaatkan waktu dengan banyak melakukan amal soleh dan menghindari tempat yang tidak baik.

Untuk itu, Irsyad al-Hadith menjawab persoalan di atas dengan mendatangkan terlebih dahulu nas atau hadis yang berkaitan:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Tempat paling disukai oleh Allah adalah masjid-masjidnya dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya.” (Riwayat Muslim (671))

Masuk ke pasar dianggap makruh kecuali jika ada keperluan mendesak.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya berkata, masjid adalah tempat yang disukai Allah kerana merupakan tempat ibadah dan ketakwaan.

Sementara itu pula, pasar dianggap tidak disukai Allah kerana sering menjadi tempat penipuan, riba, dan jauh dari ingatan kepada Allah.

Selain itu, Imam al-Qurtubhi menyebutkan bahawa memasuki pasar dianggap makruh, terutama jika terdapat banyak kemungkaran di dalamnya.

Lebih-lebih lagi di zaman kita yang padanya terdapat percampuran di antara lelaki dan wanita.

Kata para ulama, apabila banyaknya kebathilan serta terzahirnya kemungkaran di pasar, maka hukum memasukinya adalah makruh dengan tujuan untuk mendapatkan kebaikan.

Imam Ibn Batthal menjelaskan bahwa masjid adalah tempat mengingat Allah, sedangkan pasar penuh kebisingan dan kesibukan duniawi seperti manusia sibuk mengumpul duit.

Melihat kepada beberapa pandangan para ulama di atas, maka hukum memasuki pasar adalah makruh kerana ia merupakan tempat yang boleh menyebabkan manusia jauh atau berpaling daripada mengingati Allah SWT.

Imam al-Mawardi dan selain daripadanya mencela perbuatan orang yang sentiasa melazimi pasar dan banyak menghabiskan masanya dengan menyibukkan dirinya sehingga mengabaikan ibadah kepada Allah SWT.

Kesimpulannya, hadis yang menyebutkan pasar sebagai tempat dibenci oleh Allah adalah sahih memandangkan memasuki pasar dianggap makruh kecuali jika ada keperluan mendesak.

Dalam pada itu, kita perlu menjaga adab dan tidak menghabiskan waktu dengan hal-hal yang tidak berguna sehingga mengabaikan kewajiban kita sebagai hamba Allah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain