KITA sering mendengar ayat yang mengatakan seorang suami perlu menanggung dosa isterinya. Ungkapan ini bagaikan sudah sebati dalam pemikiran masyarakat kita sehingga tidak ramai yang cuba memastikan sejauh mana kebenarannya. Persoalan sama pernah dibangkitkan sebelum ini sebelum ia dijawab menerusi laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan. Soalan: Adakah sahih suami akan menanggung segala dosa isterinya? Jawapan: Di dalam al-Quran banyak ayat yang memerintahkan agar setiap daripada manusia itu menjaga diri mereka dan juga orang yang berada di sekitar mereka daripada melakukan maksiat atau dosa. Terdapat satu firman Allah yang menceritakan perkara tersebut, maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka. [al-Tahrim:6] Suami dan isteri perlu saling menasihati untuk memastikan keharmonian rumah tangga -Gambar hiasan Syeikh Muhammad Sayyid Thanthawi dalam tafsirnya menyatakan makna ayat ini ditujukan kepada setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah agar menjauhkan diri sendiri dan ahli keluarga masing-masing daripada api neraka dengan cara menasihati mereka, menunjukkan jalan yang benar dan menyuruh melakukan perkara yang ma’ruf serta mencegah diri daripada perkara munkar. Berdasarkan soalan di atas, secara asalnya di dalam syarak, setiap insan itu tidak akan menanggung dosa orang lain. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya. [al-An’am:164] Hal ini membuktikan akan keadilan Allah seperti mana firman Allah yang bermaksud: Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikit pun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri. [Fatir:18] Ini jelas menunjukkan di dalam syarak bahawa setiap insan yang sempurna akal fikirannya dan telah baligh (mukallaf), dosanya itu akan ditanggung oleh dirinya sendiri tidak kira apa statusnya sama ada dia seorang suami, isteri, ayah, ibu, anak atau selain daripadanya. Suami tidak boleh menegur secara kasar sehingga mencederakan fizikal isteri. -Gambar hiasan Ada pun, suami itu atau sesiapa sahaja akan berdosa bila mana dia tidak melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya seperti menasihati isteri dalam perkara yang ma’ruf dan menghalangnya daripada melakukan perkara yang munkar. Perkara ini ada dinyatakan di dalam sebuah hadis yang bermaksud: Ketahuilah bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu akan ditanya berkaitan orang di bawahnya. Seorang Imam (ketua atau pemimpin) ke atas manusia adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Dan seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan dia akan ditanya berkaitan perihal mereka (ahli keluarganya). [Riwayat Muslim] ARTIKEL BERKAITAN: Awas! 15 perbuatan ini Allah turunkan bala termasuk suami dayus ikut telunjuk isteri ARTIKEL BERKAITAN: Jaga-jaga wahai lelaki, 5 perkara ini boleh jadi asbab suami nusyuz Bagi menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa si suami sama sekali tidak akan menanggung dosa isterinya jika si suami itu telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Jika si isteri masih melakukan perkara maksiat setelah ditegur (dinasihati) atau si isteri melakukan maksiat di belakang suami (tanpa pengetahuan suami) maka si isteri itu tetap berdosa dan suami tidak akan sama sekali menanggung dosa-dosa tersebut. Ini kerana, tanggungjawabnya adalah untuk menasihati isteri kerana ia merupakan satu kewajipan yang perlu dilakukan dan perkara itulah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat kelak jika si suami cuai dalam mendirikan hal tersebut. Untuk itu, kami tegaskan kenyataan suami akan menanggung segala dosa isteri adalah tidak benar kerana ia bertentangan dengan dalil-dalil yang telah kami sebutkan di atas. Kesimpulannya, setiap insan (mukallaf) akan menanggung dosanya sendiri di hadapan Allah apabila tiba hari pengadilan dan setiap insan itu sama sekali tidak akan membawa atau menanggung dosa orang lain apabila dia telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube