PEMAKAIAN pendakap gigi dan gigi palsu bukanlah satu perkara asing dalam dunia perubatan dan rawatan kecantikan moden. Namun, pernahkah anda terfikir apa yang sepatutnya dilakukan jika individu yang memakai pendakap gigi atau gigi palsu meninggal dunia? Adakah ia perlu ditanggalkan atau boleh sahaja dibiarkan dan ditanam bersama si mati? Berikut mStar kongsikan penjelasan yang dibuat menerusi laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan. Perbuatan memakai pendakap gigi bagi membetulkan kedudukan gigi yang jarang atau pemakaian gigi palsu bagi tujuan memperbetulkan kekurangan pada bahagian gigi adalah diharuskan. Bahkan keharusan ini meliputi seluruh anggota tubuh yang ada keaiban atau kerosakan. Hal ini diqiyaskan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Arfajah Ibn As’ad R.A beliau berkata, maksudnya: Hidungku mengalami kecederaan parah pada hari peperangan Al-Kulab (suatu tempat yang terletak di antara Basrah dan Kufah) semasa Jahiliyyah dahulu. Lalu aku pun menggantikan hidungku dengan perak kemudian hidungku menjadi busuk. Maka Rasulullah S.A.W memerintahkan kepadaku untuk mengambil hidung daripada emas. [Riwayat Al-Tirmizi] Segelintir individu mendapatkan bantuan perubatan untuk memakai braces bagi membetulkan struktur gigi mereka. -Gambar hiasan Hadis di atas ini merujuk kepada keharusan memakai sesuatu yang diperbuat daripada emas dalam keadaan darurat. Seperti yang diketahui, emas halal dipakai oleh orang perempuan namun ia haram digunakan kaum lelaki. Namun sekiranya dalam keadaan darurat dan ada keperluan mendesak, boleh untuk orang lelaki menggunakan emas seperti contoh yang ditunjukkan dalam hadis ‘Arfajah di atas. Imam Al-Khattabi ketika mensyarahkan hadis di atas ini beliau berkata: Hadis ini menunjukkan kepada keharusan menggunakan sedikit daripada emas oleh orang lelaki ketika berada dalam keadaan darurat seperti menguatkan gigi-gigi dengannya. [Rujuk Ma’alim Al-Sunan, Al-Khattabi] ARTIKEL BERKAITAN: Dah jadi budaya di Malaysia, anak perempuan diizin keluar ‘dating’... Ibu bapa siap sedia disoal di akhirat kelak ARTIKEL BERKAITAN: Suka sangat pakai seluar pendek, dedah aurat... Lelaki Islam kena bertaubat, boleh lucut hak jadi wali Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa tatacara pengurusan jenazah mestilah dilakukan dengan cara yang paling memuliakan jenazah. Ini kerana anak Adam itu dimuliakan semasa hayatnya, demikian juga ketika sudah meninggal dunia. Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa isu membuang pendakap gigi atau gigi palsu daripada jenazah ini perlu dilihat kepada beberapa perkara yang berikut: Sekiranya pendakap gigi atau gigi palsu ini bukan diperbuat daripada emas, maka tidak mengapa untuk ia ditinggalkan bersama dengan jenazah serta tiada keperluan untuk menanggalkannya. Namun sekiranya ia diperbuat daripada emas maka ada dua pendapat dalam isu ini. Pertama, ia tidak perlu ditanggalkan kerana dianggap sebagai mencemar kehormatan si mati. Kedua, sekiranya proses penanggalan gigi emas itu tidak memberi kesan yang buruk kepada jenazah, maka kami cenderung untuk ia ditanggalkan. Kami berdalilkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Mughirah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: Allah tidak menyukai kamu banyak berkata-kata (tentang orang lain), terlalu banyak bertanya, dan juga pembaziran harta. [Riwayat Al-Bukhari] Maka membiarkan gigi emas di dalam kubur ditakuti termasuk dalam perbuatan إِضاعة المالِ yang tidak disukai oleh Allah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube