suria

Dah jadi budaya di Malaysia, anak perempuan diizin keluar ‘dating’... Ibu bapa siap sedia disoal di akhirat kelak

Pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi (ikhtilat) hanya dibenarkan pada keadaan-keadaan tertentu sahaja. -Gambar hiasan

BUDAYA 'dating' bukanlah satu perkara yang asing di negara ini.

Malah, Hari Kekasih yang terang-terangan dilarang dalam Islam juga semakin galak diraikan di Malaysia.

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI), seorang bapa tidak sepatutnya membiarkan anak perempuan keluar dengan lelaki bukan mahram.

Ketika menjawab soalan seorang jemaah kuliah, Azhar berkata si bapa juga akan disoal di akhirat jika membiarkan perkara itu berlaku.

"Apakah hukum ibu bapa suka biarkan anaknya keluar dengan lelaki lain yang bukan mahram? Tak boleh! Seorang ayah kalau ada anak perempuan, Allah akan tanya dia tentang anak perempuan, dia ajar tak hukum syarak, dia larang tak perkara haram?

"Makna contoh mudah, dia suruh tak berpakaian menutup aurat? Dia larang tak berjumpa dengan lelaki tanpa hubungan mahram? Ayah tu akan kena tanya. Nampak? Sebab apa? Sebab nabi kata, setiap suami, setiap bapa yang ada anak, dia akan ditanya di hari kiamat tentang anak dia tadi," ujarnya.

Jelas Azhar, bukan sekadar bapa, malah si ibu juga akan dipertanggungjawabkan atas kesalahan itu jika dia membenarkan ia berlaku.

454007100_1060514458978925_1419927263529342913_n

Azhar berkata ibu bapa akan disoal di akhirat jika membiarkan perkara itu berlaku.

"Kalau laki (suami) dia tiada, laki dia musafir, laki dia pergi mana-mana, kerja jauh dan sebagainya, mak ada di rumah, mak akan ditanya pada hari kiamat.

"(Contohnya) Wahai Rohani Deraman, Taman Inderapura, Kuantan, Pahang... Sekian hari bulan kamu benarkan anak gadis kamu keluar dalam keadaan memakai pakaian ketat, baju ketat, keluar bersama teman lelaki kesayangannya, apakah alasan? Ha tengok, kena tanya nanti.

"Kerana nabi kata, seorang ibu, dia adalah pemimpin dalam rumah ketika suami tidak ada di rumah. Maka dia akan kena tanya tentang anak dia di hari kiamat nanti.

"Bukan artis je tak tutup aurat, kita orang biasa pun tak tutup aurat," ujar Azhar dalam sesi kuliah Maghrib dan soal jawab agama itu.

Menurut laman sesawang Jabatan Kemajuan Islan Malaysia (Jakim) pula, pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi (ikhtilat) hanya dibenarkan pada keadaan-keadaan tertentu seperti urusan darurat dan urusan keperluan yang melibatkan muamalat sesama manusia berkaitan kemasyarakatan seperti urusan jual beli, penyaksian, urusan kerja, politik, urusan menuntut ilmu, jihad dan keperluan menjalankan urusan kebiasaan seharian.

Keharusan ini dibenarkan dengan batas - batas yang ditetapkan oleh syarak dan tertakluk pada nilai-nilai adab.

Garis panduan Islam berkaitan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti berikut:

1. Tidak berkhalwat (berdua-duaan) di tempat tertutup sekiranya tiada sebarang urusan darurat atau urusan keperluan mendesak.

2. Menutup aurat dengan sempurna ketika berhadapan dengan berlainan jantina.

3. Menjaga serta menundukkan pandangan pada kadarnya ketika berurusan secara langsung.

4. Golongan perempuan tidak boleh menggunakan suara yang lunak dan manja ketika berkomunikasi dengan lelaki asing serta tidak menunjukkan reaksi dan lenggok badan yang boleh menimbulkan syahwat.

5. Tidak bersentuhan antara lelaki dan perempuan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain