suria

Pakai kuku palsu, mahu tampil berseri ketika majlis kahwin... Pengantin jangan sampai abai hukum agama

Terdapat pengantin beragama Islam memakai kuku palsu ketika majlis perkahwinan mereka. -Gambar hiasan

PEMAKAIAN kuku palsu bukanlah satu amalan baharu, namun ia semakin popular dalam kalangan wanita hari ini.

Malah, ada juga pengantin perempuan beragama Islam yang memakai kuku palsu untuk tampil lebih cantik sewaktu majlis akad nikah dan resepsi mereka.

Rekaan kuku palsu yang panjang dengan warna-warna lembut sememangnya cantik, apatah lagi jika ia dipadankan dengan lukisan inai di tangan pengantin.

Namun menurut pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus (UAI), kaum Hawa disarankan agar tidak memakai kuku palsu meskipun terdapat perbezaan pendapat tentang hukumnya.

"Tak boleh pakai kuku palsu, melainkan kuku dia rosak, (maka) boleh. Dia tak ada bulu kening, dia buat bulu kening palsu, boleh.

uai

Ustaz Azhar menasihati kaum Hawa agar tidak memakai kuku palsu.

"Syarat jangan diperbuat daripada binatang najis dengan bulu mata orang lain. Kuku dah molek kan? Tak usah pakai kuku palsu.

"Walaupun ada sebahagian mengatakan boleh, jika kita nak sembahyang kita kena buka, tetapi takut masuk perhiasan yang tabarruj, yang dilarang," ujarnya.

UAI berkata demikian menerusi sebuah video kuliah yang dikongsi oleh seorang individu menerusi aplikasi TikTok.

Menurut laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan pula, pemakaian kuku palsu diharuskan atas sebab keperluan mendesak untuk melindungi bahagian kulit kuku asal yang tercabut atau untuk tujuan rawatan atau seumpamanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Idah dianggap penganiayaan, sekat wanita nak cepat ‘move on’... Ketahui hikmah, kewajaran larangannya

ARTIKEL BERKAITAN: Niat taklik boleh batalkan solat! Kena hati-hati, mungkin ramai pernah buat tanpa sedar

Manakala sekiranya pemakaian kuku palsu itu demi kecantikan tambahan semata-mata tanpa sebarang keperluan yang lain, maka perkara itu tidak dibenarkan oleh syarak kerana dikhuatiri termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah.

Apatah lagi perbuatan tersebut secara jelas mengandungi unsur penipuan dan pembaziran.

Dari satu sudut yang lain pula, mereka yang memakainya dengan tujuan rawatan dan perubatan, mestilah meraikan beberapa perimeter atau syarat iaitu pemakaiannya tidak menghalang air untuk sampai ke kulit sewaktu mengambil wuduk dan juga mandi wajib.

kuku 2

Aneka kuku palsu pelbagai corak dan rekaan yang dijual di pasaran.

Begitu juga, hendaklah ia daripada bahan yang suci lagi halal, di samping rupa bentuknya pula tidak terlalu menyerlah atau melampaui rupa bentuk kuku asal.

Manakala bahan yang digunakan mestilah selamat dan baik untuk digunakan.

Sebagai peringatan, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya.

Hal ini kerana, terdapat hadis yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud.

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.” [Riwayat al-Bukhari]

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain