SURAH al-Fatihah merupakan sebahagian daripada rukun utama dalam solat.
Seperti diketahui umum, ketika solat berjemaah makmum kebiasaannya akan membaca surah al-Fatihah selepas imam selesai membacanya.
Namun timbul persoalan di media sosial, adakah sah solat seorang makmum itu sekiranya dia membaca surah al-Fatihah serentak dengan imam?
Perkara ini ada dijelaskan dengan tuntas oleh Ustaz Haffa melalui satu perkongsian di laman TikTok.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat habis baca al-Fatihah, imam dah rukuk... Ini panduan untuk makmum supaya tak buat silap
Menurut Ustaz Haffa, solat tetap sah sekiranya anda membaca surah al-Fatihah tanpa menunggu imam menghabiskannya terlebih dahulu, tetapi ia boleh dikira sebagai satu perbuatan yang makruh (amalan tidak disukai Allah SWT).
"Makruh kalau anda buat begitu saja-saja tanpa sebab, tapi misalnya ada alasan yang kukuh dibenarkan.
"Sebagai contoh, imam baca terlalu laju dan kita risau nanti tak sempat habiskan surah al-Fatihah sehingga kita berkemungkinan terlambat ikut imam.
"Dalam situasi sebegini, boleh baca al-Fatihah serentak dengan imam, solat kita sah dan juga tidak makruh. Tapi kalau sengaja buat, itu baru dikira makruh.
"Lebih afdal untuk kita dengar dahulu bacaan al-Fatihah imam, selepas imam selesai, baru kita sambung dengan bacaan al-Fatihah kita. Perkara ini adalah yang dituntut oleh syarak," jelas Ustaz Haffa.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube