suria

Tak sempat habis baca al-Fatihah, imam dah rukuk... Ini panduan untuk makmum supaya tak buat silap

Panduan mendirikan solat berjemaah dikongsikan di laman TikTok.

SOLAT secara berjemaah dijanjikan pahala berlipat kali ganda.

Namun setiap imam itu berbeza caranya, misalnya ada yang cenderung membaca surah panjang selepas al-Fatihah dan ada juga yang memilih surah terlalu pendek, sehingga makmum tercungap-cungap untuk mengejar

Seperti ramai sedia maklum, bacaan al-Fatihah termasuk dalam rukun qauli (ucapan/perkataan) yang mana jika seseorang itu meninggalkannya, solatnya menjadi tidak sah.

Lebih menimbulkan dilema apabila syarat sah solat berjemaah adalah seseorang itu tidak boleh lambat mengikuti imam dalam rukun-rukun sembahyang.

Isu ini ada diterangkan dengan tuntas oleh pihak pengurusan Masjid Kg Nakhoda di laman TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai keliru 2 imam dalam 1 masjid, ini penjelasan ustaz... Jika silap, boleh jatuh haram

"Imam baca pendek sangat sampai kita tak sempat nak habiskan surah al-Fatihah. Apa makmum perlu buat dalam situasi seperti ini?

"Jika makmum itu adalah masbuk iaitu mereka yang terlewat memasuki saf, maka dia boleh sahaja ikut imam rukuk kerana surah al-Fatihah dirinya ditanggung oleh imam.

"Tetapi jika makmum itu adalah muafik, maka dia tidak boleh rukuk bersama dengan imam kerana wajib bagi dia untuk menghabiskan surah al-Fatihah," jelasnya.

Makmum muafik merujuk kepada mereka yang menyertai solat berjemaah dari awal dan mempunyai masa cukup untuk menghabiskan surah al-Fatihah sebelum imam rukuk.

Makmum muafik tidak perlu terburu-buru untuk mengikuti imam.

"Sekiranya dalam situasi imam baca terlalu laju, makmum muafik diberikan kelonggaran untuk lambat daripada imam tiga rukun yang panjang.

"Tiga rukun yang panjang itu adalah qiyam (berdiri tegak ketika solat), rukuk dan akhir sekali sujud.

"Contohnya adalah seperti ini, imam rukuk, kemudiannya iktidal, seterusnya sujud, selepas itu duduk antara dua sujud dan akhirnya sujud buat kali kedua.

"Dalam masa ini, makmum muafik dibenarkan untuk menghabiskan al-Fatihah sebelum imam memasuki rakaat baharu," terangnya. - Masjid Kg Nakhoda

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain