SOLAT secara berjemaah akan memperoleh pahala berlipat kali ganda. Apatah lagi sekiranya solat tersebut didirikan di rumah Allah iaitu masjid sekali gus menjadi simbol penyatuan ummah. Namun timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam apabila sesebuah masjid atau surau itu dilihat mempunyai lebih daripada satu imam pada satu masa tertentu. Misalnya, terdapat segelintirnya lebih selesa solat berjemaah bersama kumpulan rakan ataupun dalam kelompok keluarganya. Kekeliruan melibatkan solat berjemaah akhirnya dijelaskan. Bagi mengelakkan kekeliruan, mari ikuti perkongsian pihak pengurusan Masjid Bandar Seri Putra di laman TikTok. "Solat tetap sah, pahala jemaah pun dapat, cumanya lebih baik jika kita sertai jemaah yang sedia ada. Nabi Muhammad SAW pernah berkata, jemaah yang lebih besar akan lebih banyak fadhilatnya. "Tetapi boleh jatuh haram sekiranya ketika itu ada imam lantikan masjid yang sedang memimpin solat jemaah dan tiba-tiba kita buat pula jemaah baharu berasingan di belakang. "Perkara ini mengundang fitnah kepada imej umat Islam itu sendiri, nampak seperti masjid berkenaan berpecah belah," jelas imam, Ustaz Mohd Rasyidi Ali. ARTIKEL BERKAITAN: Kalau sayang sekali pun, menangislah berpada-pada... Haram ratap kematian, bimbang mayat diazab Namun kata Ustaz Mohd Rasyidi, dalam situasi tertentu dibenarkan untuk mempunyai lebih daripada satu imam meskipun ketika itu wujud imam utama yang sedang mengetuai solat. "Ada situasi yang diharuskan iaitu ketika di surau kawasan rehat dan rawat (R&R), pusat beli-belah dan lain-lain. Di sini tiada imam lantikan rasmi, jadi boleh kalau nak ada dua imam atau lebih pada satu masa. "Tambahan pula ada keuzuran dan keperluan seperti keadaan yang sesak pada ketika itu. "Sebaliknya pula kalau di masjid, kita kena tinggalkan persengketaan dunia dan jadi neutral. Ingat, masjid adalah tempat penyatuan umat, jangan dirosakkan keharmonian kerana perbezaan politik," ujar Ustaz Mohd Rasyidi lagi. Menerusi video penerangan yang dikongsikan, turut ditunjukkan jemaah yang dipimpin imam rasmi sudah selesai solat. Di ruangan komen katanya, dalam hal ini, tiada lagi kesalahan jika ada lebih dari satu jemaah solat berjalan serentak di masjid kerana tidak melibatkan imam rasmi. "Namun, sangat dituntut dan afdal untuk orang yang datang kemudian, menyertai saja jemaah yang sedia ada. Ini kerana dalam solat jemaah, lebih ramai orang, lebih besar ganjaran kebaikan dan rahmat Allah," katanya lagi. - Masjid Bandar Seri Putra Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube