PEMERGIAN insan tersayang ke negeri abadi pastinya sukar untuk diterima. Linangan air mata tentunya akan membasahi pipi tatkala mengiringi jenazah ahli keluarga mahupun sahabat ke tanah perkuburan sebelum masing-masing terpisah antara dua alam iaitu dunia dan barzakh. Walaupun begitu, seseorang itu perlulah berpada-pada dan tidak berlebih-lebihan dalam menangisi pemergian orang yang telah meninggal dunia terutamanya ketika berada di sekitar pusara si mati. Perkara tersebut ada diterangkan dengan tuntas menerusi portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. ARTIKEL BERKAITAN: Maki orang atau jenaka... Carutan ‘babi’, ‘anjir’ akan ditanya di akhirat kelak! Ini penjelasan dari sudut agama "Diharamkan untuk keluarga si mati meratap iaitu menangis dengan suara yang kuat atau meraung, mengoyak baju, menampar pipi, memukul badan dan menarik rambut. Tegahan ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW menerusi Riwayat Muslim (67). "Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah dari perbuatan orang kafir: mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat. "Sebagai penerangan, dibolehkan untuk seseorang itu menangis atau mengalirkan air mata tanpa mengeluarkan suara sebagai tanda sedih atas kematian orang yang disayangi. "Nabi Muhammad SAW sendiri mengalirkan air mata pada hari kematian anaknya Ibrahim sebagaimana di dalam hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain," jelasnya. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. -Gambar hiasan Namun dalam bersedih seseorang itu tetap perlu menjaga adab. "Nabi Muhammad SAW bersabda menerusi Riwayat al-Bukhari (1286), Muslim (928): "Sesungguhnya mayat diazab dengan tangisan keluarga terhadapnya. "Mengikut Imam al-Nawawi, hadis ini boleh diberikan beberapa penjelasan antaranya si mati mewasiatkan kepada keluarga dan yang hidup untuk meratap dan meraung atas kematiannya. Kedua, kaum keluarga menangis pada tahap ratapan. "Ketiga, mayat diazab dengan sebab memperdengarkan tangisan keluarganya untuk menjadikan hati mereka mengasihani berlebihan. Ini adalah pendapat Ibn Jarir al-Tabari dan al-Qadhi ‘Iyadh," ujarnya. Secara kesimpulan, tangisan biasa yang bukan keterlaluan tidak menjadi kesalahan. Papan tanda memberikan peringatan di sebuah tanah perkuburan. Seterusnya Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengupas hukum bagi wanita melawat tanah perkuburan. "Bagi wanita, mazhab jumhur ulama mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh menziarahi perkuburan berdasarkan hadis Nabi SAW bahawa laknat Allah SWT ke atas wanita yang menziarahi kubur "Perkara ini dapat dilihat menerusi sabda Nabi Muhammad SAW dalam Riwayat al-Tirmizi (1056): "Adapun Rasulullah SAW melaknat wanita yang menziarahi perkuburan. "Makruh bagi wanita disebabkan hati mereka ini lembut, banyak mengeluh, tidak kuat ketika ditimpa musibah dan kesemua ini merupakan faktor wanita itu akan menangis serta meninggikan suaranya," jelasnya. Dengan melihat keadaan masa kini, serta berdasarkan pandangan hadis, hukum yang lebih sesuai adalah harus untuk wanita menziarahi kubur. PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN Dalam pada itu, disunatkan untuk kaum wanita menziarahi kubur Nabi Muhammad SAW, orang-orang soleh dan kaum kerabat dengan syarat menjaga adab berziarah. "Perkara itu dapat dilihat dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/389): "Namun sunat bagi mereka menziarahi kubur Rasulullah SAW, para anbiya’ dan orang soleh dengan syarat mereka tidak memperagakan diri, bercampur gaul, bersesak-sesak, bersentuhan dengan kaum lelaki dan meninggikan suara yang mungkin membawa fitnah sebagaimana yang banyak berlaku ketika mereka berziarah. "Berdasarkan al-Taqrirat al-Sadidah (1/389), ulama turut menyatakan sunat bagi wanita untuk menziarahi kubur kaum kerabatnya. "Secara kesimpulan, dengan melihat pada keadaan masa kini, serta berdasarkan pandangan hadis-hadis, hukum yang lebih sesuai adalah harus untuk wanita menziarahi kubur dengan syarat menjaga adab-adab dan bebas daripada fitnah," terangnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube