SESEORANG itu digalakkan untuk memandang ke tempat sujud ketika menunaikan solat supaya lebih khusyuk. Bagaimanapun ada juga individu yang bertindak memejamkan mata apabila sembahyang dalam usaha mengasingkan jiwa dari dunia sekeliling dan seterusnya menghayati kemanisan ibadah. Muncul perbincangan di media sosial yang mendakwa perbuatan sedemikian sebagai makruh iaitu sesuatu amalan yang tidak disukai oleh Allah SWT. Perkara ini ada diterangkan dengan tuntas menerusi portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. ARTIKEL BERKAITAN: Sampai jumpa lagi... Pencinta haiwan nak bersama kucing kesayangan di syurga, tapi boleh ke bertemu semula? Ini penjelasan ahli agama "Perbuatan memejamkan mata semasa solat dihukumkan sebagai makruh di sisi sebahagian agamawan kerana bercanggahan dengan galakan memandang ke tempat sujud. "Mereka berhujah menggunakan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda menerusi Riwayat Al-Thabrani (1/37): "Apabila salah seorang dari kamu berdiri di dalam solatnya maka janganlah dia memejamkan mata," ujarnya. Berdasarkan hadis tersebut, Imam Ibn Al-Qayyim berkata timbul fahaman bahawa Nabi Muhammad SAW tidak memejamkan mata baginda di dalam solat. Solat berjemaah mempunyai pahala berlipat kali ganda. -Gambar hiasan "Demikian itu ahli agama berbeza pendapat tentang kemakruhan menutup mata ketika solat. Misalnya Imam Ahmad merumuskan amalan terbabit sebagai menyerupai perbuatan golongan Yahudi dan meletakkannya sebagai makruh. "Manakala ulama lain pula membolehkannya dan tidak memakruhkan perbuatan tersebut. Mereka berpendapat ia membantu menghasilkan kekhusyukan yang merupakan inti, roh dan maksud sebenar solat," jelasnya. Setelah dikupas dengan lebih lanjut, tokoh terkemuka dalam mazhab Imam Al-Syafi’e iaitu Imam Izzuddin Izz bin Abd Al-Salam menyimpulkan untuk melihat pada situasi. "Membuka mata di dalam solat adalah lebih afdal sekiranya ia tidak mengganggu kekhusyukan. Tetapi sekiranya terdapat perkara di hadapan yang mengganggu hati, dibolehkan untuk seseorang itu menutup mata. "Walaupun pada awalnya makruh, namun jika didapati dengan memejam mata akan membantu seseorang supaya lebih fokus dan khusyuk ketika solat, maka ia dibenarkan dan ada kalanya menjadi lebih utama," terangnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube