KECOH di media sosial ketika ini membahaskan konsep 'childfree' yang dikatakan semakin popular di Malaysia. Childfree ialah satu istilah yang merujuk kepada pilihan individu atau pasangan untuk tidak memiliki anak dalam kehidupan mereka. Ada beberapa faktor mengapa wujud individu atau pasangan mengambil keputusan untuk tidak mempunyai anak, seperti ekonomi, emosi, tak bersedia memikul tanggungjawab, kesibukan bekerja dan mahu hidup tenang tanpa komitmen anak. Pasti ramai tertanya-tanya, bagaimana pula pandangan daripada sudut agama mengenai perkara ini. Berikut adalah kupasan konsep childfree sebagaimana yang dipaparkan di portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Salah satu antara tujuan perkahwinan adalah untuk menjaga keturunan dan menambahkan zuriat. -Gambar hiasan "Institusi kekeluargaan yang dibina melalui tali pernikahan merupakan sunnah Rasulullah SAW yang amat dituntut. Ia adalah fitrah semula jadi yang berlaku antara lelaki dan perempuan yang saling memerlukan untuk hidup berkasih sayang selaras dengan kehendak syarak. "Menurut Imam al-Khadimi, salah satu antara tujuan (maqasid) perkahwinan adalah untuk menjaga keturunan dan memperbanyakkan zuriat bahkan ia termasuk dalam tujuan asal dan asas perkahwinan. "Objektifnya bagi memakmurkan alam semesta dan mengekalkan kelangsungan kehidupan manusia. "Selain itu, ia juga bertujuan meramaikan bilangan umat Islam, meningkatkan kekuatan dan membina pengaruh sehingga mampu melaksanakan tugas sebagai khalifah di bumi bahkan menjadi saksi kepada sekalian manusia," menurutnya. ARTIKEL BERKAITAN: Rupanya konsep ‘childfree’ makin popular di Malaysia, kahwin tapi tak mahu anak... Suami isteri rasa serabut jika ada zuriat! ARTIKEL BERKAITAN: Kebetulan selesai 2 hadas besar serentak, boleh ke gabung niat mandi wajib? Ini penjelasan agamawan Bagaimanapun, perancangan anak termasuk dalam konteks keperluan individu berkeluarga antara suami dan isteri. Namun, dalam membincangkan persoalan hukum pasangan suami isteri yang bersetuju untuk tidak memiliki zuriat, maka terdapat sebab dan keadaan yang perlu dipertimbangkan dari segi syarak seperti berikut: Kita sewajarnya memahami bahawa kehadiran anak dalam keluarga adalah anugerah dan bukan suatu bentuk bebanan. -Gambar hiasan 1. Jika pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak atas sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak lebih-lebih lagi jika terdapat kemudaratan dan keuzuran seperti menyebabkan kematian, menyebabkan keadaan penyakit bertambah teruk dan sebagainya, maka hukumnya adalah harus, dengan syarat kaedah pencegah kehamilan tidak mendatangkan mudarat dan bertepatan dengan syarak. 2. Jika pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak tanpa sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak seperti keinginan untuk bebas daripada sebarang tanggungjawab, maka perbuatan tersebut adalah makruh. Ia bertentangan dengan tujuan utama perkahwinan bahkan tidak bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW. 3. Pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat selama-lamanya bahkan melakukan apa sahaja cara termasuk prosedur perubatan bagi menghilangkan kemampuan reproduksi (pemandulan kekal) dan menggugurkan kandungan tanpa pengesahan doktor perubatan dan sebab-sebab yang dibolehkan oleh syarak, maka perbuatan tersebut adalah haram. Kesimpulannya, fahamilah bahawa kewujudan anak dalam keluarga adalah anugerah dan bukan suatu bentuk bebanan bahkan ia berpotensi menjadi sumber kelangsungan pahala buat ibu dan bapanya. "Sebagai seorang Muslim, perkahwinan dilihat sebagai wasilah mencapai kesempurnaan agama termasuklah dalam urusan memiliki anak jika difahami dan diusahakan sebaiknya," menurutnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube