suria

Penghidap buasir boleh ke tolak benjolan guna jari ketika berpuasa? Fahami betul-betul penjelasan mufti

Masalah buasir membuatkan ada sesetengah dalam kalangan kita was-was sekiranya melakukan tindakan yang membatalkan puasa. -Gambar hiasan

SELAIN berpuasa di bulan Ramadan, ramai yang ingin merebut ganjaran pahala dengan berpuasa sunat lebih-lebih lagi pada hari-hari tertentu yang tercatat kelebihannya di dalam al-Quran dan hadis.

Sebagaimana yang kita semua maklum, ketika berpuasa, kita ditegah daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Salah satu daripada beberapa perkara yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam qubul atau dubur.

ARTIKEL BERKAITAN: Kebetulan selesai 2 hadas besar serentak, boleh ke gabung niat mandi wajib? Ini penjelasan agamawan

Situasi ini menjadi kebimbangan bagi penghidap penyakit buasir, lebih-lebih lagi apabila benjolan buasir terkeluar ketika membuang air besar sehingga terpaksa menggunakan jari untuk menolaknya supaya masuk semula ke dalam.

Justeru timbul persoalan, apakah tindakan ini termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa?

Persoalan ini diterangkan dengan jelas menerusi portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

buasir 3

Ketika berpuasa, kita ditegah daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa. -Gambar hiasan

"Imam al-Nawawi dalam Majmuk menyatakan bahawa memasukkan sebahagian jari atau selainnya ke dalam dubur membatalkan puasa:

"Sekiranya seseorang lelaki memasukkan jari tangannya atau selainnya ke bahagian duburnya atau seorang perempuan memasukkan jarinya atau selainnya ke dalam dubur atau qubul (faraj), dan berbaki sebahagian tangan di luar, maka perbuatan itu membatalkan puasa berdasarkan kesepakatan ulama mazhab Syafi'i," tulisnya.

Dalam situasi mendesak ini, fuqaha mazhab menentukan piawaian had rongga terbuka dubur yang boleh membatalkan puasa seperti berikut:

- Memasukkan sesuatu pada rongga terbuka dubur pada kawasan dalam yang tidak wajib dibasuh adalah membatalkan puasa.

- Memasukkan sesuatu pada rongga terbuka dubur pada kawasan yang wajib dibasuh untuk tujuan istinjak adalah tidak membatalkan puasa.

"Oleh yang demikian, setiap individu yang berpuasa hendaklah berhati-hati ketika beristinjak kerana apabila memasukkan jari pada bahagian bawah dubur boleh membatalkan puasa sama ada ia dilakukan oleh diri sendiri atau orang lain.

"Justeru, memadai membasuh kawasan yang terzahir dari dubur ketika istinjak tanpa perlu memasukkan hujung jari dalam dubur.

"Terbatal puasa dengan memasukkan hujung mahupun sebahagian jarinya pada dubur atau qubul sekiranya melepasi had yang wajib dibasuh ketika istinjak," terangnya lagi.

buasir 2

Mereka yang berpuasa perlu berhati-hati ketika beristinjak kerana dibimbangi memasukkan jari melebihi had sehingga membatalkan puasa. -Gambar hiasan

Bagi situasi pesakit buasir tahap 3 yang mana benjolan daging terkeluar dan perlu ditolak dengan jari ke dalam dubur, ia tidak membatalkan puasa berdasarkan pandangan fuqaha mazhab dalam karya Tuhfah al-Muhtaj:

"Apabila usus membengkak menonjol keluar daripada dubur (buasir), maka ia tidak membatalkan puasa dengan memasukkannya kembali benjolan tersebut."

Tambahnya, hal ini dimaafkan kerana ia dilakukan dalam keadaan terpaksa dan berbeza dengan situasi memasukkan jari dalam dubur ketika istinjak yang boleh membatalkan puasa. Semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain