KITA masih lagi dalam 'mood' meraikan Aidiladha dan ramai umat Islam yang berkemampuan tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan ibadah korban. Selain dapat meraih pahala kerana melaksanakan sunat muakad, ibadah korban juga membuka ruang untuk mereka berkongsi rezeki dengan bersedekah kepada saudara mara atau tetangga. Namun begitu, timbul persoalan sama ada bolehkah orang yang melaksanakan ibadah korban mengagihkan atau memberi daging haiwan korban kepada orang bukan Islam? ARTIKEL BERKAITAN: Menjelang Aidiladha... Jangan beri daging korban kepada penyembelih dan pelapah sebagai upah Persoalan mengenai hukum situasi tersebut dirungkai penuh tuntas menerusi portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. "Allah SWT berfirman, maksudnya: 'Maka makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur'," menurutnya. Selain itu, berikut merupakan pendapat-pendapat ulama terdahulu mengenai permasalah yang sama: Ibadah korban juga membuka ruang untuk mereka berkongsi rezeki dengan bersedekah kepada orang sekeliling. -Gambar hiasan - Al-Imam Abu Hanifah Rahimahullah memberikan rukhsah (keringanan) bagi kafir zimmi yang fakir untuk diberikan kepada mereka daging korban. Ini juga adalah pendapat al-Hasan al-Basri Rahimahullah dan juga Abu Thaur Rahimahullah. - Mazhab Maliki berpendapat hukumnya makruh seperti memberi makan kepada Yahudi atau Nasrani. - Mazhab Hanbali berpendapat hukumnya harus dihadiahkan kepada orang kafir daripada daging korban yang sunat. Ada pun yang wajib (nazar) tidak diharuskan. - Dalam mazhab Syafie, yang masyhur tidak dibolehkan kerana korban adalah ketaatan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. "Kami berpendapat bahawa di dalam isu ini hendaklah dilihat dari sudut maslahah dan juga siyasah syar'iyyah supaya ia lebih harmoni dalam masyarakat di samping menjadi senjata dakwah yang paling ampuh kepada masyarakat yang bukan Islam. "Pertama, sekiranya di dalam komuniti masyarakat Islam di sesuatu tempat terdapat jiran-jiran mereka yang bukan Islam dan mereka itu dikenali dengan sifat baik serta ramahnya dengan masyarakat setempat, jika terdapat lebihan dari hasil korban maka dibolehkan untuk diberikan kepada mereka. "Kedua, namun jika hasil korban itu hanya mencukupi untuk orang Islam, maka dahulukanlah umat Islam setempat yang lebih memerlukan. Wallahualam. "Ini kerana terdapat dalil dari al-Quran agar berbuat baik kepada orang bukan Islam, dan memberikan daging korban kepada orang bukan Islam juga adalah termasuk di dalam berbuat baik yang dibenarkan oleh Allah SWT," menurutnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube