suria

Banyak dapat sedekah daging korban, tapi betul ke dilarang simpan lebih 3 hari?

Ibadah korban dilakukan saban tahun sempena Aidiladha. -Gambar hiasan

HARI ini (Khamis), ibadah korban hampir tiba ke penghujungnya.

Dalam tempoh empat hari sejak 10 Zulhijjah (Ahad) lalu, mereka yang berkemampuan tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan ibadah korban kerana ia merupakan sunat muakad dan amalan paling afdal dilakukan pada Aidiladha.

Pasti juga ramai dalam kalangan kita yang menerima sedekah daging korban daripada orang sekeliling.

Namun timbul persoalan, adakah umat Islam boleh menyimpan daging korban lebih lama, susulan terdapat hadis daripada Rasulullah SAW yang melarang untuk menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari.

Persoalan ini diterangkan dengan tuntas menerusi portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN: 5 tip simpan daging korban, tahan sampai 1 tahun... Jangan main sumbat dalam freezer, elak guna plastik hitam

ARTIKEL BERKAITAN: Menjelang Aidiladha... Jangan beri daging korban kepada penyembelih dan pelapah sebagai upah

"Para ulama telah berbeza pendapat terhadap hukum menyimpan daging korban melebihi tiga hari tiga malam kepada dua pendapat yang masyhur iaitu;

"Pertama, haram menyimpan daging korban melebihi tiga hari. Ini adalah pendapat Ali RA dan juga pendapat Ibn Umar RA berdasarkan sebuah hadis riwayat Muslim iaitu daripada Abu Ubaid bahawa beliau berkata:

"Aku telah bersama Ali bin Abi Talib ketika hari raya (korban) maka beliau memulakannya dengan solat sebelum berkhutbah dan berkata 'Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menegah kita daripada memakan daging korban melebihi tiga hari'

"Ibn Umar RA juga ada menyebutkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya, 'janganlah salah seorang daripada kamu memakan daripada daging korban melebihi tiga hari'," menurutnya.

korban 2

Daging korban diagih dan disedekahkan kepada penduduk setempat untuk berkongsi rezeki. -Gambar hiasan

Sementara itu, pendapat kedua pula mengatakan dibolehkan untuk menyimpan daging korban melebihi tiga hari dan hadis mengenai larangannya telah dimansuhkan.

Pendapat ini adalah pendapat jumhur para ulamak, lebih-lebih lagi terdapat banyak hadis yang menunjukkan kepada keharusan menyimpan daging korban melebihi tiga hari.

Salah satunya, riwayat daripada Abdul Rahman bin Abis daripada bapanya telah bertanyakan kepada Aisyah RA, adakah Rasulullah SAW telah melarang daripada memakan daging korban melebihi tiga hari dan jawab Aisyah RA:

"Tidaklah Rasulullah SAW melakukannya (iaitu melarangnya) pada tahun di mana manusia berasa lapar dan demikian itu Rasulullah SAW mahukan akan yang kaya dapat memberi makan kepada yang miskin. Namun kemudiannya kami juga menyimpan bahagian kaki kambing dan memakannya 15 hari kemudiannya." (Riwayat Al-Bukhari)

"Kami katakan bahawa pendapat kedua lebih tepat dan ianya telah memansuhkan pendapat yang pertama sepertimana yang telah dinukilkan riwayat-riwayat yang berkaitan dengannya sebelum ini.

"Sebab mengapa Rasulullah SAW melarangnya, kerana pada waktu itu telah berlakunya musim kelaparan dan tujuan larangan tersebut adalah untuk membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.

"Sekiranya daging korban disimpan melebihi tiga hari, maka tujuan memberi makan mereka yang memerlukan tidak tercapai. Wallahualam," menurutnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain