suria

Ustaz tegur penyembelih, jangan tinggalkan haiwan korban selagi belum habis hayat

Ustaz Halim berkongsi ilmu mengenai kaedah sembelihan haiwan korban. -Gambar kanan hiasan

BERMULA hari ini, umat Islam akan melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha.

Namun, dalam keterujaan melakukan ibadah ini, kita juga wajar menghayati dan mengetahui adab-adab ketika proses penyembelihan haiwan korban.

Antara adab sembelihan yang perlu dijaga oleh penyembelih adalah:

1) Menggunakan pisau yang benar-benar tajam

2) Pisau tidak ditajamkan di hadapan haiwan yang akan disembelih

3) Haiwan tidak disembelih di hadapan haiwan yang lain

4) Tidak menggunakan pisau atau alat yang tumpul

5) Tidak menyeksa haiwan

lembu 4

Ibadah korban sinonim dilakukan sempena Aidiladha. -Gambar hiasan

6) Ketika haiwan itu masih hidup, haiwan tersebut tidak dicederakan seperti dipotong, ditanggalkan kulitnya, direndam dalam air panas atau dicabut bulunya sebelum kematiannya dapat dipastikan

7) Haiwan haruslah bebas dari penyakit supaya tidak membawa mudarat kepada pemakan

8) Tidak mengambil gambar atau video haiwan sedang meronta kesakitan selepas disembelih

9) Menjaga kebersihan dengan menguruskan sisa haiwan korban sewajarnya agar tidak menimbulkan bau atau masalah lain

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan pandang ringan! Ambil tahu larangan-larangan sebagai pelaku ibadah korban

Seorang penceramah yang juga pensyarah, Ustaz Halim Zakaria turut berkongsi cara sembelihan yang betul agar ibadah korban yang dilakukan mendapat keredaan Allah.

"Letak pisau, sengetkan ke bawah, bila kita tarik ke atas, urat bawah dan tengah dah putus. Supaya kita cepat dan haiwan tak terasa.

lembu 1

Menjaga adab ketika sembelihan adalah ihsan terhadap haiwan korban. -Gambar hiasan

"Kedua, bila dah sembelih, penyembelih cepat-cepat kena tengok urat darah yang bersembur... adakah ia tersumbat? Kadang-kadang disebabkan cuaca panas ataupun stres, menyebabkan ia tersumbat. Ambil pisau kecil, potong ke arah luar urat darah itu.

"Sebab itu saya pesan, penyembelih tak boleh tinggalkan haiwan korban. Ada segelintir penyembelih, dia sembelih seekor kemudian tinggalkan dan sembelih yang lain.

"Ini penyembelih yang tidak bertanggungjawab kepada amanah Allah, diri dia, dan haiwan sembelihan. Kita patut menunggu hingga hayatnya habis. Dah lah ikat kakinya, Allahuakbar... sedih ia mati dalam keadaan terseksa. Maka zalim hukumnya, dan haram perbuatan kita. Ihsan kepada haiwan kena jaga," ujarnya.

Justeru, dalam keadaan kita ingin mencari pahala korban, jangan sampai kita lupa akan adab kita untuk bersifat rahmah kepada haiwan korban tersebut.

Semoga ibadah korban yang kita lakukan diterima oleh Allah sebagai amal soleh. Semoga bermanfaat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain