suria

Menjelang Aidiladha... Jangan beri daging korban kepada penyembelih dan pelapah sebagai upah

Umat Islam melaksanakan ibadah korban pada Aidiladha. -Gambar hiasan

TIDAK lama lagi, kita akan meraikan Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidiladha.

Ramai umat Islam yang berkemampuan mengambil peluang untuk melaksanakan ibadah korban kerana ia merupakan sunat muakad dan amalan yang paling afdal dilakukan pada Aidiladha.

Dalam menyempurnakan ibadah korban, beberapa syarat dan hukum haruslah dipatuhi oleh peserta korban, pihak pengurusan, penyembelih dan pasukan pelapah.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan pandang ringan! Ambil tahu larangan-larangan sebagai pelaku ibadah korban

Bagaimanapun, masih ada dalam kalangan kita yang tidak arif berkenaan pemberian upah kepada penyembelih dan pelapah korban.

Perkara ini diterangkan dengan tuntas oleh portal Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Menurut penjelasan yang diberikan, memberi upah daging korban kepada penyembelih dan pelapah adalah dilarang sama sakali.

Larangan ini termaktub dalam hadis-hadis yang sahih.

1) Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib RA:

Maksudnya: "Rasulullah SAW memerintahkan kepadaku untuk menguruskan haiwan korbannya dan membahagikan dagingnya, kulitnya serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Dan aku tidak dibenarkan memberikan kepada tukang sembelih apa-apa bahagian daripadanya. Ali berkata: Kami membayar upahnya daripada kos kami sendiri. (Muttafaqun 'Alaih)

Berdasarkan hadis ini, para sahabat memberi upah kepada penyembelih dengan upah lain yang ditanggung sendiri oleh mereka.

korban 2

Ibadah korban merupakan sunat muakad. -Gambar hiasan

Hal ini menunjukkan larangan mengambil daging atau anggota korban sebagai upah, namun begitu tidak melarang untuk memberi upah kepada penyembelih.

2) Begitu juga yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi bahawa:

Maksudnya: "Penyembelih tidak boleh mengambil upah dari anggota haiwan korban kerana pemberian tersebut dianggap sebagai pertukaran daripada pekerjaannya yang memberi makna menjual sebahagiannya. Maka demikian ia tidak diharuskan. Dan harus bagi penyembelih diberikan upah atas sembelihan itu dengan yang lain.

Kesimpulannya, daging atau anggota haiwan korban tidak boleh dijadikan sebagai upah kerana ia akan menyebabkan pemberian daging korban itu berstatus jual beli, sedangkan daging korban merupakan ibadah yang perlu disedekahkan dagingnya.

Lebih mudah dan sewajarnya penyembelih atau pelapah diberikan upah dalam bentuk wang ringgit yang ditanggung oleh peserta korban itu sendiri.

Semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain