suria

Banyak pakej ibadah korban luar negara... Ini panduan elak kena scam atas nama kemanusiaan

Banyak pakej korban di luar negara yang ditawarkan ketika ini. -Gambar hiasan

HARI Raya Aidiladha sinonim dengan ibadah korban.

Ibadah korban hukumnya adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut.

Menurut Imam Syafie, ibadah korban ini hukumnya sunat bagi mereka yang berkemampuan.

Ketika ini pula, terdapat banyak pakej korban online kendalian syarikat atau pihak tertentu untuk membuat ibadah korban di luar negara.

Justeru, pasti timbul persoalan di minda mengenai sejauhmana ibadah korban afdal untuk dilakukan di dalam atau luar negara.

Bagi menjawab persoalan berikut, pendakwah bebas, Ustazah Asma' Harun tampil mengupas dengan tuntas mengenainya.

e

Pendakwah bebas, Ustazah Asma' Harun.

"Tidak terdapat mana-mana nas al-Quran atau hadis yang menyatakan wajib melakukan ibadah korban di sesuatu tempat kerana ia adalah suatu ibadah sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut untuk melakukannya.

"Walau bagaimanapun, terdapat beberapa sunat bersandarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang menunjukkan kelebihan dan galakan menunaikan ibadah korban di tempat sendiri," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Berikut adalah kelebihan melakukan ibadah korban di tempat sendiri, berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW:

1) Sunat menyembelih dengan tangan sendiri

Hadis Nabi Muhammad SAW:

Maksudnya: "Nabi SAW menyembelih dua ekor kibasy putih yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibasy tersebut" (HR al-Bukhari & Muslim)

Jika tak mampu menyembelih sendiri, boleh wakilkan kepada orang lain yang dipercayai.

korban 1

Salah satu kelebihan melaksanakan korban di dalam negara adalah dapat menghadirkan diri melihat haiwan korban disembelih. -Gambar hiasan

2) Sunat menghadirkan diri melihat haiwan korban disembelih

Nabi Muhammad SAW bersabda:

Maksudnya: "Bangun dan pergilah ke tempat penyembelihan korban kamu. Saksikanlah sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa kamu yang terdahulu. Fatimah bertanya, wahai Rasulullah! Ini adakah untuk kita ahli Bait sahaja atau untuk kita dan orang Islam keseluruhannya? Jawab Rasulullah SAW, bahkan untuk kita dan orang Islam keseluruhannya." (HR al-Hakim, hadis dhaif)

ARTIKEL BERKAITAN: Menjelang Aidiladha... Jangan beri daging korban kepada penyembelih dan pelapah sebagai upah

3) Sunat makan daging korban walaupun sedikit

Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Maka yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin." (Surah al-Hajj: 28)

"Rumusannya, bagi mereka yang berkemampuan untuk memilih membuat korban dalam negara adalah sangat digalakkan kerana terdapat banyak kelebihan seperti yang dinyatakan dalam hadis-hadis di atas.

"Bagi golongan yang benar-benar berkemampuan, dibolehkan untuk melaksanakan kedua-duanya sekali iaitu di dalam dan luar negara.

"Manakala bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk melakukan ibadah korban dalam negara, maka bolehlah memilih korban di luar negara untuk merebut pahala sunat muakkad,"terang Ustazah Asma'.

korban 2

Orang ramai dinasihatkan berhati-hati sebelum memilih pakej korban di luar negara. -Gambar hiasan

Sebagai peringatan bersama, anda yang berhasrat melakukan ibadah korban di luar negara supaya lebih berhati-hati, dibimbangi menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

Berikut dikongsikan langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil:

1) Memeriksa dan memastikan organisai yang menganjurkan korban di luar negara itu adalah organisasi berdaftar.

2) Semak latar belakang organisasi atau syarikat, serta review daripada orang ramai.

3) Semak serta buat perbandingan harga pakej. Jika anda tidak diberitahu harga sebenar, bahagian korban, kadar upah sehinggalah kepada proses penyembelihan, akad wakalah mengandungi unsur gharar (ketidakpastian) yang boleh menyebabkan ibadah korban tidak sah.

4) Pastikan ada dokumen hitam putih, yang mana perkara paling mustahak adalah kontrak wakalah. Kontrak wakalah perlu mengandungi butir seperti jenis perkhidmatan (korban/akikah), pengagihan, laporan dan sijil pengesahan, dan sebagainya.

Semoga bermanfaat dan selamat menunaikan ibadah korban!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain