suria

Ambil pengajaran kes ‘makcik tak halal walau sehelai bulu’, ini perkara peserta ibadah korban perlu faham

Ustaz Mohammad Yaakob (kanan) memberi penjelasan mengenai isu ibadah korban di Madad. -Gambar hiasan (kiri)

SEJAK Jumaat, kecoh di media sosial mengenai ibadah korban yang diuruskan Murtadha Dakwah Centre (Madad), Sungai Petani, Kedah pada musim Aidiladha ini selepas seorang peserta korban meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pembahagian daging.

Menerusi tangkap layar mesej di aplikasi WhatsApp, wanita berpangkat 'makcik' itu mengkritik urusan pembahagian daging haiwan korban yang didakwanya sebagai tidak telus.

Lebih menggemparkan apabila makcik itu bertegas untuk tidak akan menghalalkan walau sehelai bulu jika haknya tidak dipenuhi.

Menjelaskan situasi sebenar, Pengarah Urusan Madad, Ustaz Mohammad Yaakob Yusra Mohd Yusuf berkata, isu tercetus apabila peserta berkenaan menuntut hampir semua bahagian korbannya dan tidak selari dengan akad yang dipersetujui sejak awal.

ARTIKEL BERKAITAN: Banyak dapat sedekah daging korban, tapi betul ke dilarang simpan lebih 3 hari?

"Kami tiada masalah langsung malah lebih suka kalau peserta ambil sepenuhnya bahagian mereka sebab akan mengurangkan penugasan kami.

"Isunya, peserta tersebut hanya ada empat bahagian daripada tujuh, jadi tak bolehlah nak bagi apa yang dimintanya sampai semua.

"Malah memang dah akad daripada awal bahagian mana yang beliau akan ambil dan team dah susun bahagian bakinya serah pada yang memerlukan," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

pic 2

Kita hendaklah memahami makna ibadah korban yang bertujuan untuk mendapat keredaan Allah di samping bersedekah. -Gambar hiasan

Bagaimanapun ujarnya, isu berkenaan sudah pun diselesaikan secara baik dengan peserta berkenaan.

Daripada kisah tersebut, secara tidak langsung ia memberi pengajaran bahawa pelaksanaan ibadah korban perlulah difahami dengan jelas khususnya oleh pihak yang menyertainya.

Bagi individu yang mewakilkan urusan korban kepada persatuan, agensi atau syarikat, berikut adalah perkara yang wajib diambil tahu:

1. Kadar harga bagi satu bahagian korban yang ditawarkan oleh persatuan, agensi atau syarikat.

2. Kadar upah yang diambil oleh persatuan, agensi atau syarikat.

3. Hendaklah mengagihkan daging korban mengikut hukum syarak.

4. Hendaklah mengetahui orang yang akan menjadi wakil untuk menyembelih haiwan korban.

pic 3

Pembahagian daging korban juga perkara penting yang wajib diambil tahu oleh pihak yang melaksakan korban. -Gambar hiasan

Pembahagian daging korban pula terbahagi kepada dua:

1. Pembahagian daging korban wajib atau nazar

- Wajib semua dagingnya termasuk kulit dan tanduk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin, dan haram bagi pihak orang yang berkorban memakan daging korbannya atau memanfaatkan sembelihan itu untuk kepentingan dirinya.

2. Pembahagian daging korban sunat

- Menurut pandangan ulama mazhab Shafie:

(i) 1/3 untuk dimakan oleh pihak yang berkorban dan ahli keluarganya

(ii) 1/3 untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin

(iii) 1/3 untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.

Paling afdal, menurut pandangan ulama mazhab Shafie adalah bersedekah semuanya kecuali pada beberapa ketul atau suapan yang agak berpatutan dimakan oleh orang yang berkorban untuk mengambil berkat, seperti sebahagian hati kerana ianya sunat dimakan.

Amalan ini pernah dilakukan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda melakukan korban. Semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain