SOLAT adalah perkara yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam. Namun begitu, dalam situasi tertentu seperti seseorang sedang bermusafir, Islam memberi kemudahan atau rukhsah dalam menunaikan ibadah ini, iaitu solat jamak dan qasar. Antara syarat untuk rukhsah solat jamak dan qasar adalah seseorang itu bermusafir dengan jarak melebihi dua marhalah atau 81 kilometer (km) dan lebih, dan perjalanannya tidak bertujuan maksiat. Bagaimanapun, timbul persoalan, apakah hukum jika seseorang memilih jalan yang jauh ke sesuatu destinasi agar mendapat kelebihan rukhsah tersebut? ARTIKEL BERKAITAN: Ramai masih keliru rukhsah solat jamak dan qasar... Ini penjelasan paling mudah faham, cara nak kira hari pun ada Persoalan berkenaan dijawab dengan penuh tuntas oleh pendakwah bebas, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi. "Dalam situasi kita ada dua jalan, satu jalan yang dekat tapi tak cukup dua marhalah, manakala satu lagi jalan yang jauh serta melebihi dua marhalah yang membolehkan kita buat solat jamak qasar. "Lalu kita sengaja pilih jalan jauh tu supaya kita dapat keringanan untuk buat jamak qasar. Solat wajib ditunaikan dalam apa keadaan sekalipun, kecuali pada perkara yang tidak diwajibkan ke atas seseorang. -Gambar hiasan "Jawapannya, kalau saja-saja tanpa sebab apa-apa nak pilih jalan jauh untuk dapat rukhsah jamak dan qasar, tak boleh! "Tapi kalau bersebab, contohnya dia ikut jalan jauh tu sebab nak elak jam, jawapannya boleh," terangnya. Beliau kemudian turut memberikan beberapa contoh lain mengenai pemilihan jalan yang jauh ke sesuatu destinasi yang membolehkan seseorang mendapat rukhsah solat jamak dan qasar. "Ataupun dia pilih jalan jauh seperti highway kerana lebih lancar, atau sebab mahu singgah jumpa adik beradik dia, atau nak singgah di mana-mana. "Seandainya bersebab perjalanan itu lebih jauh dan membolehkan dia mendapat rukhsah jamak dan qasar, maka boleh (pilih jalan yang jauh). Yang penting bersebab," terangnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube