SETIAP yang bernyawa pasti akan merasai mati. Termasuklah haiwan peliharaan seperti si bulus yang disayangi ibarat ahli keluarga sendiri. Timbul persoalan di media sosial jika seseorang itu akan disatukan semula dengan binatang peliharaan di syurga selepas habis amalan dihisab pada hari akhirat. Perkara ini ada diterangkan dengan tuntas menerusi portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ayuh kita ikuti. ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki menyesal, kucing Parsi dikurung mati kebuluran... Seminggu tuan si bulus tinggalkan rumah - “Saya beri makan sedikit” "Keadaan haiwan di akhirat kelak tidaklah sama dengan keadaan umat manusia. Daripada sudut amalan, mereka tidak akan dihitung kebaikan dan keburukannya. "Begitu juga mereka tidak akan dimasukkan ke dalam syurga-syurga Allah seperti golongan manusia yang bertakwa. Sebaliknya, kesemua haiwan akan menjadi debu dan tanah pada hari akhirat kelak. "Perkara ini dapat dilihat dalam hadis riwayat Muslim iaitu daripada Abu Ubaid: "Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan makhluk kesemuanya pada hari akhirat kelak. Iaitu setiap haiwan, burung-burung, dan juga manusia. Lalu Allah berkata kepada mereka, 'jadilah kamu tanah'," jelasnya. Kehidupan dirasakan sunyi tanpa kucing kesayangan. -Gambar hiasan Walaupun begitu, umum diketahui penghuni syurga dijanjikan dengan begitu banyak kenikmatan yang tidak terhitung jumlahnya, termasuklah setiap permintaan mereka akan dipenuhi. "Ini disebutkan dalam begitu banyak nas, antaranya firman Allah S.W.T menerusi Surah Qaf, ayat 35: "Buat para penghuni syurga apa sahaja yang mereka mahukan dan di sisi kami ada penambahan (nikmat). Sementara itu Imam Ibn Jarir al-Thabari mentafsirkan ayat tersebut seperti berikut: "Bagi golongan mereka ini yang bertakwa, apa sahaja yang mereka mahukan di dalam syurga. Yang mana telah disediakan kepada mereka apa sahaja yang jiwa mereka mahukan serta keindahan-keindahan buat pemandangan mereka," ujarnya. Sementara itu, turut dikongsikan adalah riwayat daripada Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir mengenai seorang Arab Badwi yang bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang unta peliharaannya. Si bulus merupakan peneman sejati rata-rata individu. -Gambar hiasan "Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mencintai unta. Adakah di syurga nanti ada unta? "Lalu baginda berkata, 'Wahai Arab Badwi, sekiranya Allah memasukkan kamu ke dalam syurga, maka di dalamnya terdapat apa sahaja yang kamu kehendaki dan melazatkan pemandangan matamu'," jelasnya. Menutup bicara, dititipkan pesanan supaya sentiasa beramal soleh agar dapat menerima ganjaran Allah SWT yang tidak terkira nilainya. "Menjaga kebajikan haiwan-haiwan peliharaan adalah termasuk dalam amalan soleh yang boleh membawa seseorang itu menuju ke syurga. "Justeru, saat seseorang itu berada di syurga kelak sudah pastilah segala kehendak dan kemahuannya akan dituruti sebagai ganjaran dari Allah S.W.T buat dirinya," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube