suria

Suka sangat sebar gambar orang mati, tak fikir aib arwah... UAI tegur, suruh fikir jika foto jenazah ibu bapa sendiri

Orang ramai disarankan agar lebih sensitif terhadap perasaan waris si mati. -Gambar hiasan

DALAM dunia moden hari ini, hampir segenap aspek kehidupan akan dikongsi secara terbuka di media sosial.

Bahkan perkara yang dianggap mengaibkan turut menjadi tontonan umum sehingga menimbulkan fitnah, perbalahan dan sebagainya.

Lebih teruk, ada yang turut berkongsi foto serta video orang yang meninggal dunia di media sosial.

Menurut pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus (UAI), perbuatan itu boleh jatuh hukum haram sekiranya ia mengaibkan si mati dan keluarganya.

"Apabila ada kematian, dirakamkan gambar mayat. Ulama-ulama sudah beri fatwa dalam soal ini dan ada pandangan berbeza. Jadi kita himpunkan pandangan-pandangan ini.

"Yang pertama, mestilah ada izin daripada waris si mati. Kedua, apabila orang lihat gambar si mati, orang jadi memuji dia, orang kata dia baik dan sebagainya, dan tidak akan mengaibkan tuan gambar dan keluarganya atau menyebabkan kesedihan.

453773234_1059994072364297_1855510676408173557_n

Video sedutan kuliah Azhar banyak dikongsi di media sosial. -Gambar hiasan

"Sebab ada orang sesuka hati ambil gambar mayat, disiarkan. Anak-anak si mati sedih tengok gambar ayah disebarkan. Itu hukumnya haram, mengaibkan keluarganya. Tak boleh," ujar Azhar.

Pendakwah popular dari Terengganu itu berkata demikian menerusi sedutan video kuliah yang tular di aplikasi TikTok.

Jelas Azhar, sekiranya seseorang itu memuat naik foto si mati, ia haruslah bersifat positif dan berkisarkan hal yang baik-baik sahaja mengenai arwah.

ARTIKEL BERKAITAN: Banyak kes bunuh tanda kiamat makin dekat... Ustaz pesan jangan tinggal doa ini, baca 6 kali sehari

ARTIKEL BERKAITAN: Si mati pakai gigi palsu, braces... Perlu ke cabut sebelum dikebumikan?

"Sebab tu ulama tegas dalam bab ini, kamu nak siar gambar orang yang meninggal dunia, boleh. Tapi apabila orang tengok, keluarganya rasa bangga.

"Anak beranak dia rasa bangga orang tolong siar gambar dia macam tu. Adik abang dia rasa seronok dapat tengok arwah gambarnya tersenyum seperti itu. Ini nak kena jaga," ujarnya lagi.

Dalam sesi kuliah itu, Azhar turut menempelak sikap individu yang tidak sensitif terhadap perasaan si mati dan waris-waris mereka.

"Orang berlanggar (kemalangan) pecah kepala, lidah terjelir pun (kita) ambil gambar letak dalam Facebook. Kalau atuk kamu terjelir macam tu, kamu bubuh (upload) tak gambar?

"Kalau gambar mak kamu rebah, kain terkoyak, kamu masukkan gambar tak? Tak masukkan sebab mak kamu. Habis tu mak orang kenapa kamu kongsi?

"Budaya ni makin lama makin jahat, makin biadab, penting diri sendiri. Hak orang kita tak jaga. Kamu suka tak orang muliakan ibu bapa kamu? Kalau suka, muliakan ibu bapa orang lain juga," pesannya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain