suria

Alasan nak lepas rindu, ramai buat AI ‘hidupkan’ gambar orang mati... Umat Islam kena tahu hukum sebelum ikut trend

Trend menghasilkan video dengan menggerakkan gambar si mati semakin berleluasa. -Gambar hiasan

TEKNOLOGI kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) kini digunakan secara meluas dalam kehidupan.

Pegunaan AI Generatif juga mempunyai keupayaan untuk mencipta kandungan baharu dengan belajar daripada data sedia ada, sekali gus membentuk semula sempadan kreativiti dan teknologi.

Maka dengan itu tidak hairanlah apabila ia dijadikan cara untuk melepaskan rindu kepada seseorang yang sudah meninggal dunia.

Menerusi beberapa aplikasi yang tersedia, gambar statik dua individu dapat dibentuk semula dengan pelbagai permintaan tertentu termasuk arahan supaya mereka saling berpelukan.

Namun timbul persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai hukum dalam penghasilan semula imej atau video orang yang sudah meninggal dunia menggunakan aplikasi tersebut.

Perkara itu dijelaskan oleh Mufti Wilayah Persekutuan menerusi portal rasmi mereka.

"Hukum menghasilkan imej orang yang sudah meninggal dunia dengan memasukkan arahan pada perisian atau aplikasi boleh disamakan dengan hukum melukis gambar.

"Melukis gambar makhluk yang tidak bernyawa seperti pokok atau gunung adalah harus, dan tidak ada perselisihan dalam kalangan ulama mengenai hal ini.

"Begitu juga penggunaan imej digital untuk tujuan kemaslahatan seperti dakwah atau pendidikan, ia tidak termasuk dalam perkara yang diharamkan," demikian menurut laman web berkenaan.

Namun dijelaskan, hukum melukis gambar makhluk hidup yang sempurna, termasuk manusia, adalah haram menurut majoriti ulama.

Semakin ramai yang cuba menggunakan AI sebagai mengikuti trend di media sosial.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

"Sesungguhnya mereka yang membuat gambar ini akan diazab pada hari kiamat seraya diseru, ‘Hidupkan apa yang kalian buat.’" (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis lain, Nabi SAW juga menyatakan:

"Manusia yang paling pedih azabnya pada hari kiamat adalah orang yang berusaha menyaingi ciptaan Allah." (Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, terdapat beberapa syarat perlu dipatuhi jika ingin menghasilkan imej digital si mati menggunakan aplikasi Generative AI:

1. Imej tidak sempurna: Gambar yang dihasilkan haruslah tidak menunjukkan keseluruhan anggota tubuh badan atau akan menampilkan makhluk hidup yang sempurna.

2. Tidak mempamer aurat: Gambar tidak boleh mempamerkan aurat atau aspek yang bercanggah dengan syarak.

3. Tidak menghina: Imej yang dihasilkan tidak boleh mengaibkan atau memalukan si mati.

4. Tidak bergerak: Elakkan membuat imej bergerak yang boleh merendahkan maruah si mati.

5. Tujuan baik: Imej harus dihasilkan hanya untuk tujuan kebaikan, bukan untuk tujuan meragukan atau salah.

Para ulama memiliki pandangan yang berbeza mengenai hukum penghasilan imej.

Dalam mazhab Syafie, pendapat yang muktamad menyatakan bahawa menghasilkan imej makhluk yang bernyawa adalah haram.

Namun, terdapat sebahagian ulama kontemporari yang berpendapat bahawa ia tidak haram.

Antara ulama yang berpendapat bahawa menghasilkan imej makhluk bernyawa tidak termasuk dalam larangan adalah Syeikh Yusuf al-Qaradawi.

Ulama ini berpendapat bahawa imej atau gambar digital makhluk seperti manusia dan haiwan tidak termasuk dalam larangan hadis yang ada.

Menurutnya, larangan tersebut khusus kepada gambar yang memiliki bayang-bayang, seperti ukiran mempunyai tiga dimensi.

Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati menggunakan teknologi masa kini. -Gambar hiasan

Syeikh Yusuf al-Qaradawi berpendapat bahawa hukum mengenai gambar makhluk bernyawa, seperti manusia dan haiwan, bergantung pada tujuan pembuatannya:

1. Haram jika gambar tersebut dibuat untuk disembah selain Allah, menyaingi ciptaan Allah, menggambarkan para Nabi dan malaikat, atau jika gambar tersebut tidak menutup aurat.

2. Tidak haram jika gambar tersebut tidak dimaksudkan untuk tujuan yang terlarang dalam Islam.

Oleh itu, adalah penting bagi orang ramai untuk berhati-hati dalam menggunakan teknologi canggih ini.

Penggunaan teknologi yang tidak terkawal boleh mendatangkan kesan negatif kepada individu, masyarakat, dan negara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain