suria

Patung Labubu dipakai Lisa Blackpink jadi kegilaan seluruh dunia... Mak ayah beli untuk anak pasti menyesal jika tahu asal usulnya

Patung Labubu menjadi trend masyarakat masa kini

APA sahaja yang dilakukan sebilangan selebriti atau diguna pakai golongan popular ini, ia pasti akan menjadi ikutan dan bualan anak muda masa kini.

Turut mendapat perhatian ramai ialah gaya dan fesyen penyanyi lagu Rockstar, Lisa Blackpink.

Terkini, gaya artis antarabangsa itu yang menjadikan anak patung Labubu sebagai penghias beg telah menjadi ikutan peminatnya di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Bagaimanapun, perkongsian seorang wanita tentang asal usul patung Labubu di aplikasi Thread mengejutkan ramai berikutan boneka tersebut dipercayai mirip simbol iblis yang dikenali 'Kala'.

Malah katanya, pencipta patung Labubu yang dikenali Kasing Lung juga telah membuat pengakuan mengenai perkara itu.

"Versi pertama Labubu yang dikeluarkan berwarna merah dan bertulis 666 pada badannya. Dia mendapat inspirasi dan menciptakan Labubu pada tahun 2015.

"Kasing mengatakan dia terinspirasi ketika berpindah ke Belanda dan berkait dengan agama di sana.

"Ramai cuba mencari simbolik agama menyerupai Labubu dan apabila ditemui, mereka berpendapat bahawa Labubu adalah inspirasi dari sebuah agama yang dikatakan mirip dengan simbol iblis yang bernama 'Kala'," kongsi wanita tersebut.

Patung Labubu yang pertama kali dicipta Kasing Lung.

Patung Labubu yang pertama kali dicipta Kasing Lung.

Berdasarkan pengakuan pencipta Labubu yang mengaitkan patung tersebut dengan agama dianuti, Pensyarah Fiqah Kontemporari di Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Datuk Dr Izhar Ariff Mohd Kashim tampil berkongsi pandangan mengenainya.

Jelas beliau, walaupun patung dibenarkan untuk kanak-kanak bermain namun ia semestinya tidak boleh mempunyai unsur atau elemen mensyirikkan Allah.

"Berasaskan kepada pengakuan pencipta patung itu inspirasi pada tuhan sesuatu agama, maksudnya tuhan yang disembah oleh agama lain dan patung mainan itu menjadi idola kepada pencipta.

"Pada hari ini, ia menjadi mainan patung kanak-kanak.

"Oleh itu saya melihat tidak wajar ibu bapa beragama Islam untuk membiarkan anak bermain dan menyimpan patung yang ada elemen keagamaan mana-mana kaum," jelasnya ketika dihubungi mStar.

Malah ujar beliau, meskipun kanak-kanak boleh menjadikan patung sebagai permainan, namun ibu bapalah yang bertanggungjawab memastikan apa yang dibeli dan diberikan kepada mereka tidak mempunyai unsur syirik.

"(Patung permainan) tidak boleh mempunyai inspirasi atau yang disembah oleh mana-mana pihak oleh sebab itu, nasihat saya agar ibu bapa prihatin dengan mainan anak-anak

"Saya juga berharap agar ibu bapa mengambil tahu tentang latar belakang mainan anak-anak supaya tidak mempunyai unsur atau membangga agama lain," tegasnya lagi.

Ramai yang menjadikannya sebagai hiasan beg.

Ramai yang menjadikannya sebagai hiasan beg.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi tajuk Hukum Patung Sebagai Perhiasan menjelaskan secara terperinci tentang isu berkaitan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Talhah R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.” Riwayat al-Bukhari (3225) dan Muslim (2016)

Imam al-Nawawi berkata: Menurut para ulama, antara sebab yang menghalang malaikat daripada masuk ke dalam rumah adalah kerana terdapat gambar (makhluk bernyawa).

Ini disebabkan perbuatan meletakkan gambar itu merupakan maksiat yang amat keji dan seolah-olah menyerupai ciptaan Allah SWT manakala sebahagian daripada gambar-gambar tersebut dijadikan sembahan.

Oleh itu malaikat tidak akan masuk ke dalam rumahnya, tidak melakukan solat di dalamnya, tidak meminta keampunan bagi penghuninya, tidak memohon keberkatan seterusnya tidak melindungi penghuni rumah tersebut daripada gangguan syaitan.

Malaikat-malaikat yang tidak masuk ke dalam rumah tersebut ialah Malaikat Rahmah iaitu malaikat yang memohon keberkatan dan keampunan bagi penghuninya.

Bagaimanapun bagi Malaikat Hafazah, mereka masuk ke dalam setiap rumah dan tidak pernah berpisah dengan manusia dalam apa jua keadaan kerana mereka diperintahkan untuk mencatat setiap amalan manusia. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 7/207)

Patung Labubu menjadi minat kanak-kanak dan remaja perempuan.

Patung Labubu menjadi minat kanak-kanak dan remaja perempuan.

Kesimpulan

Perlu dilihat maksud patung tersebut, adakah ia patung yang dihormati, patung yang besar dan yang dipuja, maka ini jelas dilarang.

Adapun patung permainan kanak-kanak yang kecil yang tidak diagungkan dan dimuliakan seperti mana kanak-kanak yang ada kalanya melempar patung tersebut, meleraikan anggota patung mainan, ia hanya dianggap sekadar barang permainan kanak-kanak, maka dibolehkan dengan syarat ia bukan patung yang besar dan hanyalah semata-mata patung kanak-kanak.

Walaupun begitu, umat Islam disyorkan supaya mengelakkannya agar kita tidak menimbulkan perkara yang boleh membawa kepada perasaan-perasaan pemujaan dan sebagainya.

Jika boleh diganti dengan hal-hal yang boleh mengelakkan daripada sebarang bentuk syubhah kerana apabila kita meninggalkan perkara-perkara yang khilaf seperti ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain