suria

Fahami sabda Rasulullah SAW ‘ipar adalah maut’... Mufti perjelas hukum bermalam, tinggal sebumbung

Filem Ipar Adalah Maut menjadi bualan sensasi di hampir seluruh negara. -Gambar hiasan (kiri)

FILEM Ipar Adalah Maut mencetuskan fenomena dalam kalangan warga maya terutamanya wanita, rata-rata paranoid rumah tangga yang didirikan bakal menjadi goyah akibat kesilapan sama.

Diangkat dari kisah benar, filem itu tersebut menceritakan tentang seorang wanita (Nisa) mempelawa adik perempuannya (Rani) yang menyambung pengajian di bandar untuk tinggal serumah bersama suami (Aris) dan anak kecilnya (Raya).

Konflik timbul apabila Aris tergoda dengan Rani, adik iparnya sendiri sehingga mendorong dia berlaku curang terhadap isteri, malah berzina, menyebabkan keluarga mereka menjadi berantakan.

Pada penghujung filem yang berada dalam kelompok teratas carta Netflix ini, didedahkan bahawa tajuk 'Ipar Adalah Maut' merupakan petikan daripada sabda Nabi Muhammad SAW menerusi Riwayat al-Bukhari (5232) Riwayat al-Muslim ( 2172) iaitu:-

"Berhati-hatilah kamu ketika masuk menemui wanita, lalu seorang lelaki Ansar berkata : Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat engkau tentang ipar? Baginda bersabda: Ipar adalah maut."

Masjid yang dibina boleh runtuh kerana kehadiran orang ketiga. -Gambar hiasan

Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga ada menjelaskan dengan tuntas mengenai frasa 'ipar adalah maut' yang digunakan Nabi Muhammad SAW, ayuh kita ikuti.

"Rasulullah SAW menyatakan dalam bahasa Arab, al-hamwu al-maut yang membawa maksud ipar adalah maut. Sekiranya ditafsirkan, ia menekankan bahawa fitnah yang berpunca akibat ipar duai adalah lebih besar bahayanya daripada orang lain.

"Sentiasa wujud kebarangkalian untuk berlaku khalwat dengan ipar duai walaupun hukum ipar berbeza dengan ajnabi, iaitu ipar merupakan mahram sementara yang haram dinikahi, manakala wanita ajnabi tidak haram untuk dinikahi.

"Maksud al-Maut mengikut hadis itu adalah kebinasaan dan kemusnahan dalam kehidupan akibat fitnah khalwat kerana berdua-duaan dengan ipar duai," jelasnya.

Tambahnya lagi, syariat Islam melarang perbuatan khalwat antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram melainkan si wanita ditemani oleh mahramnya, seperti abang, bapa atau datuk.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu bangga encik tunang rajin hantar pergi kerja, ambil tahu hukum... Paling bahaya jika hanya berdua, takut ada yang ‘ketiga’

Ia turut disokong oleh sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas menerusi Riwayat Muslim (1341), bahawa Rasulullah SAW bersabda:-

"Seorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan mahram perempuan itu ada bersamanya."

Seorang lelaki yang berdua-duaan dengan iparnya tanpa mahram di sisi mampu membuka ruang fitnah yang terhasil dari bisikan syaitan seperti zina dan seumpamanya serta menimbulkan perasaan curiga orang lain.

"Bagi menyimpulkan perbincangan ini, syarak melarang ipar duai untuk tinggal serumah dengan ketiadaan mahram dan perlu dijauhi bagi menutup pintu fitnah.

"Namun, ipar duai menziarahi dan menumpang bermalam di rumah yang berasingan bilik dibolehkan selagi adanya mahram di sisi ipar duai dan bebas daripada fitnah," jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain