SOLAT merupakan tiang agama dan menjadi kewajipan untuk setiap umat Islam. Dalam menunaikan solat fardu lima waktu, seseorang itu perlu berwaspada dengan perkara membatalkan sembahyang, seperti rukun solat yang tidak sempurna. Rukun solat pula terbahagi kepada beberapa kategori, antaranya adalah rukun qauli, iaitu bacaan dalam solat seperti surah al-Fatihah dan takbiratul ihram (Allahuakbar). Melalui satu hantaran di laman TikTok oleh pihak pengurusan Masjid Bandar Seri Putra, Bangi, ada dikongsikan kecuaian yang ramai terlepas pandang ketika melafazkan bacaan rukun qauli. Rukun solat tidak boleh diambil ringan. -Gambar hiasan "Bacaan rukun qauli harus sempurna dan bersambung ayatnya, kalau kita terbatuk, terbersin atau menguap di tengah bacaan, kita harus ulang semula. Sekiranya kita biarkan terputus, solat kita boleh menjadi batal. "Sama juga dengan bacaan surah al-Fatihah, contohnya kita terbatuk apabila sedang baca ayat, ihdinas-sirâtal-mustaqîm, maka ayat itu harus diulang semula, jangan biar 'berlubang' di tengah kerana akan rosak makna ayat. "Namun dalam situasi lain, misalnya kita terbatuk selepas tamat bacaan satu ayat, boleh teruskan seperti biasa, tak perlu ulang ayat sebelum atau keseluruhan surah al-Fatihah. "Perkara sama juga perlu diingat untuk rukun qauli yang lain iaitu tahiyat akhir, salam pertama, takbiratul ihram dan selawat. Sekiranya kita batuk atau bersin di pertengahan ayat, harus ulang semula," ujar Imam 1 Masjid Bandar Seri Putra, Ustaz Najmi Yahya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube