suria

Pahala baca al-Quran guna telefon tak sama dengan mushaf? Jangan salah faham, ini penjelasan ustaz

Al-Quran merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW. -Gambar hiasan

PERKEMBANGAN teknologi pada masa kini memudahkan banyak urusan dalam kehidupan harian.

Antaranya amalan membaca al-Quran kini boleh dilakukan secara digital melalui aplikasi telefon pintar, bermakna anda boleh mengumpul pahala walau di mana sahaja.

Namun timbul persoalan sekiranya pahala yang diraih itu sama nilainya dengan bacaan secara fizikal menerusi mushaf al-Quran.

Ayuh kita ikuti kupasan daripada pihak pengurusan Masjid Bandar Seri Putra, Bangi tentang perkara ini.

Al-Quran merupakan kalam Allah SWT sebagai petunjuk kepada umat manusia. -Gambar hiasan

"Sekiranya anda berada di tempat seperti surau yang tersedia kedua-dua pilihan, iaitu mushaf al-Quran atau telefon pintar, adalah lebih afdal untuk membaca menerusi mushaf al-Quran.

"Pahalanya sama sahaja, cuma satu perkara yang perlu ditekankan ketika membaca al-Quran ini adalah khusyuk. Baca guna telefon pintar ini senang berlaku gangguan yang boleh menjejaskan kekhusyukan dan penghayatan kita.

"Misalnya notifikasi mesej masuk, panggilan telefon, iklan dan pelbagai lagi bentuk gangguan. Ia menyebabkan minda kita melekat dengan hal duniawi tatkala kita sedang mendekatkan diri kepada Tuhan.

"Membaca al-Quran merupakan satu ibadah, kita seharusnya kita menjiwai sepenuhnya," jelas pihak pengurusan Masjid Bandar Seri Putra.

ARTIKEL BERKAITAN: Batuk, bersin atau menguap boleh jadi punca batal solat... Ustaz perjelas 3 situasi ini dalam rukun qauli

Dalam pada itu, penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menerusi kuliahnya turut menjelaskan perbezaan antara membaca al-Quran menerusi mushaf dan telefon pintar.

"Pahala kedua-dua kaedah bacaan al-Quran ini adalah sama. Mufti Mesir, Dr Shawki Allam pernah terangkan, kalau kita tengok ayat al-Quran sama ada pada mushaf atau telefon pintar, kita akan dapat pahala.

"Seterusnya, kita baca ayat al-Quran sama ada pada mushaf atau telefon pintar, kita juga akan dapat pahala. Cuma yang berbezanya adalah daripada segi sentuhan.

"Apabila kita baca mushaf al-Quran ini, kita cenderung untuk belek dan selak sekali muka suratnya, ini pun sebenarnya boleh dapat pahala, perkara sedemikian tidak ada pada telefon pintar kerana kita sekadar scroll skrin je.

"Lebih banyak perbuatan kita dengan al-Quran, lebih banyak pahala boleh dapat, itu sebab mushaf al-Quran adalah lebih afdal," jelas UAI.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain