ISLAM telah menetapkan dan memberi garis panduan yang jelas dalam setiap perkara terhadap umatnya melibatkan kehidupan harian seperti ibadat, akhlak, pekerjaan, pemakaian dan sebagainya. Tidak lain dan tidak bukan, ia bertujuan untuk meletakkan batas sempadan supaya umat Islam terpelihara daripada perkara yang boleh merosakkan akidah, moral, serta kesejahteraan hidup mereka. Dalam bab pemakaian, pada asasnya, Islam tidak ada menetapkan sebarang pakaian khusus bagi seseorang Muslim atau Muslimah. Namun, Islam meletakkan prinsip-prinsip terhadap pakaian mahupun perhiasan yang dibenarkan untuk dipakai agar ia selari dengan kehendak agama dan tidak melanggar batasan syarak. ARTIKEL BERKAITAN: Suka sangat pakai seluar pendek, dedah aurat... Lelaki Islam kena bertaubat, boleh lucut hak jadi wali Mengenai pemakaian kaum lelaki, jika dilihat ketika ini, boleh dikatakan ramai yang tanpa serba salah mengenakan aksesori atau perhiasan yang hanya dikhususkan untuk wanita, sebagai contoh, rantai leher. Berdasarkan laman web Mufti Wilayah Persekutuan, Setiausaha Fatwa di Dar al-Ifta' al-Misriyyah Syeikh Mahmud al-Syalabi menyatakan, persoalan berkaitan perhiasan lelaki hendaklah dirujuk kepada 'uruf dan adat setempat. Sebagai contoh, jika adat setempat menunjukkan bahawa lelaki berhias dengan rantai tersebut, manakala wanita pula tidak berhias dengannya, maka pemakaiannya (bagi lelaki) adalah dibenarkan dan tidak mengapa. Ramai lelaki yang gemar memakai aksesori ketika ini. -Gambar hiasan Namun jika sudah menjadi kebiasaan bahawa ia adalah sebahagian daripada perhiasan wanita, maka tidak boleh bagi lelaki untuk memakainya kerana menyerupai wanita, dan ini adalah diharamkan dan tidak dibenarkan. Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut mengulas mengenai persoalan hukum jika seseorang lelaki Islam memakai rantai dan mencari rezeki dengan berniaga makanan. "Hukum lelaki memakai rantai sama ada emas, perak atau besi, hukumnya adalah haram. "Berkenaan membeli makanan di gerai atau kedainya, kami katakan ia dibolehkan kerana makanan yang dijualnya itu halal dan tidak terkait dengan pemakaiannya. "Oleh itu, diharamkan bagi lelaki untuk memakai rantai leher sebagai perhiasan, tidak kira ia diperbuat daripada apa pun seperti perak, kain, kulit dan sebagainya. "Hal ini kerana rantai leher pada asasnya termasuk dalam barang perhiasan yang khusus bagi wanita, dan lelaki yang memakainya secara tidak langsung telah termasuk dalam larangan lelaki menyerupai wanita sebagaimana yang sabit dalam nas yang sahih," menurutnya lagi. Semoga pencerahan tersebut dapat dijadikan panduan kita bersama dalam menjalani kehidupan berlandaskan syariat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube