suria

Suami ajak kongsi bayar komitmen bulanan, tak bagi nafkah duit poket... Ustaz jawab kekeliruan kaum isteri

Bakal pengantin perlu belajar dan mendalami ilmu perkahwinan sebelum melangkah ke alam rumah tangga. -Gambar hiasan

NORMAL ke kalau sebelum mendirikan rumah tangga, wanita bertanya dahulu berapa nafkah bakal suami mampu bagi? Adakah nampak seperti mata duitan?

Ini merupakan persoalan yang sering timbul dalam fikiran wanita yang belum berkahwin dan baru-baru ini seorang pengguna Threads turut melontarkan isu sama untuk mendapatkan pandangan ramai.

Sebenarnya, ramai tersalah faham tentang konsep nafkah yang wajib diberi oleh suami kepada isteri sepanjang perkahwinan.

Oleh itu, amat penting untuk bakal pengantin menghadiri kursus kahwin bagi memahami jenis-jenis nafkah yang perlu ditunaikan oleh suami.

Jika tidak, ramai wanita di luar sana masih menganggap duit poket daripada suami untuk perbelanjaan tertentu termasuk dalam kategori nafkah sedangkan ia adalah hadiah, bukan kewajipan.

Suami boleh menyewa atau membeli rumah mengikut kemampuan.

Suami boleh menyewa atau membeli rumah mengikut kemampuan. -Gambar hiasan.

Jenis Nafkah: Zahir dan batin

Pendakwah bebas, Ustaz Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Ustaz Syamsul Debat menerusi satu perkongsian video TikTok menjelaskan terdapat dua jenis nafkah yang perlu diberi perhatian iaitu nafkah zahir dan nafkah batin.

"Nafkah zahir terdiri daripada tiga perkara asas iaitu makan minum, pakaian dan tempat tinggal.

"Ini merupakan kewajipan mutlak suami kepada isteri, dan ia disebut sebagai 'nafaqutun asliyatun' atau nafkah asal," ujarnya.

Manakala, nafkah batin pula adalah salah satu elemen penting dalam perkahwinan.

Ia tidak hanya merujuk kepada keintiman fizikal, tetapi juga melibatkan aspek emosi seperti, memberi perhatian kepada isteri, memberikan sokongan moral dan meluangkan masa berkualiti bersama

"Kesejahteraan emosi adalah sama pentingnya dengan keperluan fizikal. Nafkah batin membantu membina hubungan yang lebih kukuh antara suami dan isteri," jelasnya.

Pakaian wajib diberikan dua kali setahun kepada isteri.

Pakaian wajib diberikan dua kali setahun kepada isteri. -Gambar hiasan

Nafkah zahir: Apa yang wajib?

Sementara itu pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus menghuraikan lebih lanjut mengenai nafkah zahir.

Ujarnya, suami wajib menyediakan keperluan makan minum sebanyak dua kali sehari untuk isteri.

"Sekiranya suami menyediakan bahan mentah seperti barang basah, isteri boleh memasak. Namun, memasak bukan kewajipan isteri dan suami tidak boleh memarahi isteri jika dia enggan memasak," jelasnya.

Dalam bab pakaian, ujarnya, suami wajib menyediakan sekurang-kurangnya dua pasang pakaian setahun untuk isteri yang mana ia harus memenuhi keperluan menutup aurat dengan sempurna.

Manakala, untuk bab tempat tinggal pula, suami wajib menyediakan tempat tinggal yang sesuai mengikut kemampuannya, sama ada menyewa atau membeli rumah asalkan layak dan selesa untuk didiami isteri.

Masalah duit merupakan salah satu punca keretakan rumah tangga. Foto gambar hiasan

Masalah kewangan merupakan salah satu punca keretakan rumah tangga. -Gambar hiasan

Isu 50/50 dan bantuan isteri

Menurut beliau lagi, dalam perkahwinan, segala perbelanjaan asas seperti makan minum, pakaian, dan tempat tinggal adalah tanggungjawab penuh suami.

Namun, ada situasi di mana isteri yang bekerja memilih untuk membantu meringankan beban suami.

Jelasnya, jika isteri rela hati memberikan sumbangan kewangan, ia dianggap sebagai amalan sunat dan bukan kewajipan.

Sebaliknya, suami tidak boleh mengambil kesempatan dengan membahagikan tanggungjawab kewangan yang wajib ke atas dirinya kepada isteri.

Sebagai contoh, isteri boleh menyumbang untuk hal-hal bersifat santai seperti makan di luar atau percutian keluarga, tetapi tanggungjawab utama kekal pada suami.

"Seorang suami harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keperluan asas. Jika tidak mampu, jangan berkahwin.

"Perkahwinan adalah komitmen besar yang memerlukan kefahaman jelas tentang tanggungjawab masing-masing," tegasnya lagi.

Buat bakal pengantin, ambil peluang untuk belajar dan mendalami ilmu perkahwinan sebelum melangkah ke alam rumah tangga.

Ingatlah, keseimbangan antara nafkah zahir dan batin adalah kunci kepada kebahagiaan perkahwinan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain