TIDAK dinafikan setiap anak mempunyai karakter dan keperibadian yang berbeza. Namun ia tidak bermakna perkara tersebut menjadi alasan untuk ibu bapa membanding-bandingkan anak mereka. Sebenarnya, ada antara kita yang secara tidak sedar membanding-bandingkan anak dan bersikap pilih kasih sama ada daripada segi perhatian, layanan, pemberian hadiah dan sebagainya. Bagi mereka yang bergelar ibu bapa, cuba bermuhasabah kerana dibimbangi sikap sedemikian memungkinkan kita tergolong dalam golongan yang berdosa. ARTIKEL BERKAITAN: Suami tinggal sebumbung dengan amah dan anak, isteri tiada di rumah... Dr Zulkifli perjelas hukumnya Perkara ini turut diulas oleh pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus. Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Ustaz Azhar menjelaskan sikap melebihkan sebahagian anak dalam soal pemberian hingga memudaratkan anak lain boleh jatuh hukum haram dan berdosa. Ibu bapa dituntut menyamakan pemberian antara anak-anaknya tanpa pilih kasih atau melebihkan kecuali ada sebab yang mengharuskan. -Gambar hiasan Tambahnya, ibu bapa disunatkan menyamakan pemberian kepada anak-anak masing-masing atau dengan kata lain, berlaku adil. "Tersebut pada himpunan fatwa Universiti Al-Azhar, ertinya, 'Fuqaha telah sepakat bahawa seorang itu dituntut menyamakan pemberian antara anak-anaknya tanpa pilih kasih atau melebihkan kecuali ada sebab yang mengharuskan. "Telah berkata jumhur fuqaha dari Mazhab Hanafi dan yang masyhur dalam Mazhab Maliki serta muktamad di sisi Mazhab Syafie, jika dilebihkan salah seorang daripada anaknya kerana mahu memudaratkan anak-anak yang lain, maka dia telah berdosa dan perbuatannya itu haram kerana sesungguhnya dia berniat melakukan zalim dan kemudaratan," katanya. Sementara itu memetik laman web Mufti Wilayah Persekutuan, ia mengatakan sifat pilih kasih ibu bapa kepada anak-anak merupakan perkara yang dibenci dalam agama. Ini kerana perbuatan tersebut hanya akan mengundang kebencian sesama keluarga terutamanya dalam kalangan adik-beradik. Anak-anak wajar diberi perhatian dan kasih sayang yang sama rata daripada ibu bapa. -Gambar hiasan "Dalam satu riwayat, Nabi SAW menolak permintaan bapa Nu'man bin Basyir untuk dijadikan saksi. "Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, panggillah orang lain untuk menjadi saksi selain aku, adakah kamu suka jika semua anak-anakmu bersamaan berbuat baik kepadamu? "Beliau berkata, Ya. Nabi berkata, janganlah berbuat demikian (iaitu jangan memberikan hadiah kepada seseorang dengan mengecualikan yang lain)," menurutnya. Menurutnya lagi, salah satu di antara hak anak-anak yang dipertanggungjawabkan kepada kedua ibu bapa adalah hak untuk mendapatkan kasih sayang, belas kasihan dan sifat keihsanan. "Perasaan ini dapat ditonjolkan melalui tindakan ibu bapa seperti bercakap dengan kata-kata yang baik, menunjukkan sifat kelembutan dan kebaikan serta memberikan kegembiraan kepada mereka. "Justeru, tuntutan agama untuk berlaku adil kepada anak-anak tidaklah semata-mata terhad kepada pemberian sesuatu yang bersifat material atau kebendaan bahkan ia lebih meluas daripada itu dengan mengambil kira sudut emosi anak-anak dan hak mereka untuk mendapatkan kasih sayang," menurutnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube