suria

Perawat Islam perjelas sebab tak digalakkan pasang ayat ruqyah ketika perjalanan jauh, cukup buat 3 saranan ini

Alunan ayat ruqyah boleh menarik perhatian entiti yang tidak diingini. -Gambar hiasan

AMALAN membaca dan mengamalkan ayat-ayat al-Quran setiap hari memberi pelbagai manfaat, termasuk perlindungan dan mengelak perkara-perkara ghaib.

Namun, adakah sesuai memasang ayat ruqyah semasa dalam perjalanan, terutamanya di dalam kereta?

Menurut seorang pengamal perubatan Islam yang dikenali sebagai Ustaz Dhomir Prai, memasang ayat ruqyah ketika memandu ke tempat jauh atau asing, sebenarnya tidak digalakkan.

Langkah ini, walaupun kelihatan bagus, sebenarnya boleh membawa kesan yang tidak diingini.

Dalam perkongsiannya menerusi akaun @dhomirprai di TikTok, perawat tersebut menghuraikan sebab utama mengapa memasang ayat ruqyah di dalam kereta tidak sesuai:

pic 1 new

Penampakan entiti di atas sebuah kereta yang pernah tular di media sosial. -Gambar hiasan

1. Mengganggu makhluk halus

Membuka ayat ruqyah di kawasan asing mungkin mengganggu makhluk halus, terutamanya bangsa jin, yang tinggal di kawasan seperti hutan atau jalan sunyi.

Malah ujarnya, membuka ayat suci sambil bercakap atau melakukan perkara lain dianggap kurang beradab.

"Apabila kita membuka ayat-ayat ruqyah dalam kereta atau bacaan al-Quran sambil bercakap, ia menunjukkan kita tidak menghormati bacaan tersebut. Apabila tiada penghormatan, maka tiada rahmat buat kita," ujarnya.

Selain itu, seorang pendakwah bebas, Ustaz Muhaizad Muhammad menerusi satu sesi ceramahnya di YouTube berkata, kita disarankan cukup sekadar membaca doa menaiki kenderaan, selain ayat Kursi.

"Jangan baca ayat-ayat Manzil dalam kereta atau ayat-ayat ruqyah kerana mengganggu sebab jalan kita lalu ke rumah ni, kita lalu rumah dan kawasan orang," katanya.

Menurutnya lagi, ia juga merupakan adab yang perlu diberi perhatian berikutan bumi turut didiami oleh makhluk halus bernama jin dan syaitan.

Kemalangan ngeri mungkin berlaku jika terkena gangguan jin atau syaitan

Kemalangan mungkin berlaku jika terkena gangguan jin atau syaitan. -Gambar hiasan

2. Meningkatkan risiko kemalangan

Gangguan daripada makhluk ini berpotensi menyebabkan kemalangan, lebih-lebih lagi jika ada penumpang yang sensitif atau pernah mengalami gangguan jin sebelumnya.

Perawat tersebut menjelaskan, bacaan ruqyah boleh mencetuskan rasa berdebar yang kuat dalam diri seseorang, terutama mereka yang pernah dirasuk.

Situasi ini boleh menimbulkan panik di dalam kenderaan dan membahayakan nyawa.

Beberapa individu di TikTok turut berkongsi pengalaman seram mereka setelah memasang ayat ruqyah di dalam kereta.

“Adik saya tiba-tiba gelak seorang diri sambil senyum masa ayat ruqyah dimainkan. Seorang lagi penumpang menjerit dan menangis di atas lebuh raya yang sesak.

“Kalau nak pasang, pastikan dalam keadaan beradab. Jangan pasang sambil bercakap. Membuka ruqyah semasa perjalanan jauh seperti lalu kawasan rumah orang sambil buat bising,” demikian antara komen warga maya.

Amalkan doa perjalanan dan doa pendinding ketika perjalanan jauh

Amalkan doa perjalanan dan doa pendinding ketika perjalanan jauh. -Gambar hiasan.

Untuk memastikan perjalanan selamat tanpa gangguan, berikut adalah alternatif yang disarankan:

1. Amalkan doa perjalanan

Sebelum memulakan perjalanan, bacalah doa menaiki kenderaan dan doa perlindungan. Ini adalah sunnah Rasulullah SAW dan mampu memberi ketenangan kepada pemandu dan penumpang.

2. Memasang bacaan surah lain

Pilih bacaan seperti Surah Yasin, Al-Mulk, atau Al-Waqiah, yang lebih bersifat menenangkan. Bacaan ini tetap membawa keberkatan tanpa risiko gangguan.

3. Putarkan selawat

Selawat sememangnya menyejukkan dan menenangkan suasana, selain dapat memberi manfaat kepada persekitaran serta memastikan perjalanan anda lancar.

Sementara itu, ayat ruqyah berfungsi khusus untuk rawatan penyakit, sihir, dan gangguan makhluk halus, bukan untuk dimainkan secara sembarangan.

Jika tiada keperluan mendesak, elakkan memasangnya sepanjang perjalanan.

Sentiasalah beradab dengan bacaan Al-Quran, dan insya-Allah, perjalanan anda akan dilindungi dan selamat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain