PENAMPILAN lelaki-lelaki yang hadir ke sebuah acara hiburan berprestij mencetuskan kontroversi apabila mereka memakai pakaian dengan ciri feminin.
Acara tersebut menyaksikan kelompok tersebut mengenakan pakaian baju labuh beropol, aksesori berlebihan serta solekan tebal dipertontonkan tanpa segan silu.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan dan pertikaian ramai berhubung normalisasi fesyen yang bertentangan dengan fitrah?
Dalam pada itu, ramai yang turut mempersoalkan mengapa golongan sebegini terus diberi ruang dan perhatian dalam industri hiburan.
Hukum tasyabbuh menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Dalam Islam, hukum menyerupai jantina yang berlawanan (tasyabbuh) bukan sekadar isu fesyen, tetapi berkait rapat dengan larangan syarak.
Dari Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
"Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki." (Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan menyerupai jantina lain adalah haram, malah dilaknat oleh Rasulullah SAW.
Tangkap layar komen netizen di X.
Ini bukan sekadar pandangan konservatif, tetapi satu peringatan yang wajib diambil serius.
Kenapa perlu berhati-hati?
Menurut para ulama, tasyabbuh berlaku dalam beberapa aspek:
1. Pakaian- Lelaki yang memakai pakaian wanita seperti gaun, skirt atau aksesori feminin.
2. Perhiasan- Memakai alat solek, subang, gelang atau rantai yang dikhaskan untuk wanita.
3. Percakapan dan suara- Cara bercakap dan nada suara yang dibuat-buat menyerupai wanita.
4. Gaya berjalan dan gerak badan- Lenggok tubuh dan cara berjalan yang dimaniskan seperti wanita.
5. Mengubah bentuk fizikal- Seperti suntikan hormon atau pembedahan plastik untuk kelihatan lebih feminin.
ARTIKEL BERKAITAN: Acara hiburan dihadiri lelaki menyerupai wanita... Jakim hubungi MCMC, panggil pihak berkaitan
Islam menekankan bahawa lelaki harus menjaga sifat kelelakian mereka, sama seperti wanita perlu memelihara sifat kewanitaan.
Identiti ini bukan sekadar budaya, tetapi fitrah yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Normalisasi yang perlu dihentikan
Industri hiburan perlu lebih sensitif dan mengetengahkan imej yang mencerminkan nilai-nilai Islam dan budaya tempatan.
Memberikan platform kepada golongan yang terang-terangan menentang batas syarak hanya akan membuka lebih banyak ruang kepada budaya songsang (LGBT).
Pada Isnin, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga turut membuat satu hantaran mengenai larangan menyerupai jantina lain selepas tularnya isu berkenaan.
Daripada Abu Qatadah R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki. (Riwayat Abu Daud (4098)
Dalam pada itu, Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menegaskan bahawa Jakim memandang serius isu tular berkenaan seorang lelaki Muslim yang berpakaian seperti wanita dalam sebuah program hiburan.
Perkara tersebut telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat serta menyentuh sensitiviti agama Islam dan budaya di Malaysia.