suria

Tak perlu ganti puasa tahun lepas sebab dah bayar fidyah? Rupanya masih ramai keliru

Ramai berusaha menggantikan puasa yang tertinggal. -Gambar hiasan

ANDAI dipanjangkan usia, umat Islam akan menyambut bulan yang penuh keberkatan iaitu Ramadan dalam masa terdekat.

Justeru ramai mula membuat persiapan bagi menghadapi bulan penuh keberkatan, termasuk mereka yang perlu menggantikan puasa terdahulu.

Antara persoalan yang sering timbul adalah mengenai fidyah dan keperluan menggantikan puasa bagi mereka yang uzur atau sakit.

Fidyah ialah denda yang dikenakan ke atas orang yang meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu ataupun sengaja melewatkan puasa ganti bulan Ramadhan.

Ianya merupakan satu kadar tertentu yang wajib dikeluarkan sebagai suatu pemberian sebahagian daripada harta (makanan) kepada fakir miskin.

Dalam satu sesi kuliah Maghrib oleh penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI), seorang jemaah mengajukan soalan:

Orang sakit tinggal puasa 15 hari, fidyah sudah dibayar. Jadi masih perlu ganti atau tidak?” 

2637880

Puasa yang ditinggalkan dengan sengaja perlu diganti. -Gambar hiasan

Menurut UAI, jawapan bagi persoalan ini bergantung kepada jenis penyakit yang dihadapi individu tersebut.

Dalam Islam, sakit terbahagi kepada dua kategori utama:

1. Penyakit boleh sembuh

Jika seseorang itu sakit ketika bulan Ramadan dan berpeluang sembuh, maka individu tersebut wajib menggantikan (qada) puasa yang ditinggalkan. 

Dalam kes ini, fidyah tidak diperlukan kerana kewajipan utama adalah menggantikan puasa tersebut.

2. Penyakit tidak dapat sembuh atau pulih

Jika seseorang mengalami penyakit kronik seperti kanser, sakit tua, atau menjalani rawatan dialisis secara berterusan yang menyebabkan ketidakmampuan untuk berpuasa sepanjang hayat, maka individu tersebut hanya perlu membayar fidyah.

Dalam situasi ini, puasa yang ditinggalkan tidak perlu diganti dan fidyah menjadi satu-satunya tuntutan bagi menggantikannya.

Jadi secara ringkasnya, sekiranya seseorang itu sakit dan masih mempunyai peluang untuk sembuh dia wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan walaupun fidyah telah dibayar.

Sebaliknya bagi mereka yang menghidap penyakit kronik atau tidak mampu berpuasa sepanjang hayat, mereka hanya perlu membayar fidyah tanpa perlu menggantikan puasa.

Artikel Lain

Suami Kiah Propa meninggal dunia