MENUTUP aurat dengan sempurna merupakan satu tuntutan dalam agama Islam.
Sebelum ini, isu pemakaian inner berwarna kulit terutamanya untuk pakaian sekolah anak perempuan pernah dijawab bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Dalam penjelasannya, beliau merujuk kepada firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 31:
"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)."
Menurut tafsir ayat ini, perhiasan yang dimaksudkan adalah pakaian yang menutup aurat dengan sempurna ketika solat.
Malah, memakai pakaian terbaik untuk menunaikan solat juga merupakan sunnah Rasulullah SAW.
Kita disarankan untuk menutup aurat dengan sempurna.
Dalam isu pemakaian inner berwarna kulit, terdapat dua perkara utama yang perlu diberi perhatian:
Menutup aurat secara sempurna
Aurat wajib ditutup sepenuhnya dan tidak boleh menutup sebahagian sahaja sementara sebahagian yang lain didedahkan kerana perbuatan ini diharamkan dalam Islam.
Kekeliruan pandangan mata
Jika seseorang memakai inner berwarna kulit tetapi dilapisi dengan pakaian lain yang menutup aurat, maka hukumnya dibolehkan.
Namun, jika inner tersebut menimbulkan ilusi seolah-olah seseorang itu tidak berpakaian dengan sempurna, maka hukumnya adalah tidak dibolehkan dan boleh jatuh haram.
Seperti kebanyakan yang berlaku dalam dunia fesyen kini, ramai individu menggunakan inner seperti memakai baju luar berlengan pendek tetapi inner berlengan panjang berwarna kulit.
Keadaan ini boleh mengundang sangkaan bahawa seseorang itu tidak menutup aurat dengan betul.
Justeru, pemilihan warna pakaian, khususnya inner perlu diambil kira bagi mengelakkan kekeliruan dan menjaga adab berpakaian dalam Islam.