suria

Kerja pun tiada... Berdosakah anak perempuan tak bagi duit kepada ibu bapa?

Menjaga dan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa adalah kewajipan setiap anak. -Gambar hiasan

BERBAKTI kepada ibu bapa merupakan tanggungjawab setiap anak tanpa mengira jantina mahupun status kewangan.

Namun timbul persoalan mengenai keperluan anak perempuan untuk bekerja bagi memberi wang kepada ibu bapa sebagai tanda membalas jasa. 

Daripada sudut agama, adakah perkara ini benar-benar menjadi satu kewajipan?

Seorang individu mengajukan soalan di media sosial tentang sama ada dia berdosa jika tidak bekerja dan gagal memberi wang kepada ibu bapa.

Menjawab persoalan itu, pendakwah bebas dikenali sebagai ustaz Nasrullah menjelaskan bahawa tiada dosa jika anak perempuan tidak berbuat demikian.

Hal ini kerana ia bukan tanggungjawab yang wajib ke atas mereka.

Setiap individu perlu mengingati jasa dan pengorbanan ibu bapa.

Menurutnya, jika seseorang wanita itu tidak mempunyai keperluan mendesak seperti membayar hutang pendidikan atau terikat dengan kontrak biasiswa, maka lebih baik mereka tidak bekerja. 

Namun dalam keadaan tertentu, wanita boleh bekerja dari rumah sekiranya perlu.

Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pernah mengulas isu yang hampir sama menerusi portal Inarah.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan seorang isteri berhenti kerja dan tidak menyumbang kepada perbelanjaan keluarga bukanlah satu kesalahan atau dosa.

Walau bagaimanapun, wanita yang memilih untuk bekerja bagi membantu meringankan beban suami dalam menanggung nafkah keluarga dianggap melakukan satu usaha yang baik. 

Namun secara asasnya, tanggungjawab mencari nafkah terletak di bahu suami dan bukan isteri.

Artikel Lain