suria

Geram tengok banyak juadah tak habis, ramai bawa balik! Ini hukum tapau makanan dari bufet Ramadan

Pelbagai aneka juadah berbuka puasa sekiranya makan secara bufet. -Gambar hiasan

RAMADAN lalu, seorang individu berkongsi pengalaman berbuka puasa makan secara bufet bersama keluarganya. 

Sebelum pulang, individu berkenaan membungkus lebihan makanan yang ada untuk dibawa pulang. 

Namun, selepas itu timbul persoalan dalam dirinya adakah tindakan ini dibenarkan dalam Islam, walaupun mereka telah membayar untuk makanan tersebut?

Tambahan pula tiada notis yang melarang pelanggan membawa pulang makanan, dan sekiranya tidak diambil lebihan makanan itu mungkin akan dibuang.

Syarat dan kebiasaan dalam perniagaan bufet

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, kebanyakan pengusaha bufet menetapkan syarat bahawa makanan hanya boleh dimakan di premis dan tidak boleh dibawa keluar. 

Malah, ada juga premis yang mengenakan caj tambahan untuk makanan yang diambil tetapi tidak dihabiskan.

Walaupun syarat ini tidak dinyatakan secara jelas atau dipamerkan di tempat makan, ia sudah menjadi kebiasaan yang difahami oleh masyarakat. 

Dalam prinsip fiqh, sesuatu yang diterima secara adat kebiasaan boleh dianggap sebagai satu syarat dipersetujui. 

Oleh itu, apabila seseorang memasuki premis bufet dan membayar harga makanan, secara tidak langsung dia turut bersetuju dengan peraturan yang ditetapkan.

Rasulullah SAW bersabda:

"Orang-orang Islam mestilah mematuhi syarat-syarat (yang ditetapkan)." (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Ramai memilih untuk berbuka di kedai yang menyediakan bufet Ramadan pada bulan puasa. -Gambar hiasan

Mengambil makanan tanpa kebenaran

Dalam konteks ini, tindakan membungkus makanan tanpa izin dianggap mengambil sesuatu tanpa hak yang bercanggah dengan prinsip Islam. 

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’, ayat 29:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah.

"Kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu."

Tambahan pula, pelanggan tidak boleh menganggap bahawa makanan lebihan akan dibuang dan menjadikannya alasan untuk membawa pulang makanan. 

Pengusaha bufet sudah pasti mempunyai perancangan dalam menguruskan lebihan makanan untuk mengelakkan kerugian sekiranya makanan itu boleh disimpan dan dihidangkan semula keesokan harinya.

Rasulullah SAW juga bersabda:

"Tidak boleh melakukan kemudaratan, dan tidak boleh melakukan perbuatan membalas kemudaratan." (Hadis riwayat Abu Sa‘id al-Khudri)

Berdasarkan penerangan tersebut, jelas bahawa makanan dari bufet Ramadan tidak boleh sewenang-wenangnya dibawa pulang tanpa izin. 

Walaupun pelanggan membayar caj bufet, mereka tetap terikat dengan syarat bahawa makanan hanya boleh dinikmati di premis. 

Jika ingin membawa pulang makanan, ia mestilah mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan bufet terlebih dahulu.

Sebagai umat Islam, kita perlu berpegang kepada prinsip amanah dan menghormati hak orang lain dalam setiap urusan, termasuk ketika menikmati hidangan di bufet.

Artikel Lain