suria

Sibuk nak moreh tapi tinggal solat Isyak dan Tarawih... Fahami elok-elok teguran UAI, elak jadi orang rugi

Azhar menyifatkan perbuatan meninggalkan solat tarawih untuk pergi moreh sebagai merugikan.

MOREH bagaikan sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat beragama Islam setiap kali tibanya bulan Ramadan.  

Dahulunya, moreh lebih sinonim dengan hidangan ringan yang disediakan secara sederhana di masjid atau surau selepas solat sunat tarawih.

Namun, budaya itu kini semakin berkembang apabila banyak pihak mula menganjurkan pesta moreh secara besar-besaran dengan menawarkan pelbagai juadah sebagai satu bentuk tarikan Ramadan yang unik.

Perkara itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, apatah lagi pesta yang dianjurkan selepas waktu Maghrib seolah-olah membuka ruang bagi segelintir individu untuk mengabaikan ibadah pada bulan Ramadan.

Mengulas berkenaan perkara itu, pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus menerusi ceramahnya menjelaskan bahawa hukum asal moreh yang dilakukan selepas solat tarawih adalah harus dari segi syarak.

Bagaimanapun, perbuatan itu boleh menjadi haram dan berdosa sekiranya ia dilakukan dengan mengabaikan ibadah wajib seperti solat fardu Maghrib dan Isyak.

"Tidak ada salahnya (moreh), tetapi pengurusannya yang salah.

"Macam basuh kereta, mana ada ulama kata basuh kereta haram. Tetapi kalau pergi basuh kereta pada waktu Maghrib sampai tak sempat solat, kemudian habis basuh kereta sudah masuk waktu Isyak, maka perbuatan itu berdosa.

Moreh yang dilakukan selepas solat tarawih adalah harus daripada segi syarak.  

"Jadi, moreh tidak salah, tetapi sepatutnya dilakukan selepas tarawih," katanya menerusi video ceramah yang dimuat naik di laman YouTube miliknya.

Tambah Azhar lagi, melakukan perbuatan harus seperti moreh dengan meninggalkan perkara sunat seperti solat tarawih tidak jatuh hukum haram.

Namun tindakan itu dianggap merugikan, apatah lagi ia dilakukan pada bulan Ramadan yang seharusnya diisi dengan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah.

"Melakukan perkara yang harus dan meninggalkan perkara sunat tidak haram, misalnya pergi moreh tetapi meninggalkan solat tarawih. Ia tidak haram kerana solat tarawih tidak wajib.

"Tetapi, perkara itu menjadi satu kerugian. Sepatutnya, habis solat pukul 10 baru kita pergi moreh. Ini tidak, pukul 8.40 sudah pergi. Tak berapa elok," ujarnya.

Justeru, Azhar menyarankan agar pihak berkuasa memainkan peranan mereka dengan mengeluarkan garis panduan yang betul mengenai penganjuran acara berkenaan.

"Pihak berkuasa keluarkan SOP atau peraturan, ajar mereka tentang aturan yang betul sekiranya hendak membuka tapak atau mendapatkan permit kedai untuk pesta moreh.

"Itu lebih baik supaya orang luar, khususnya pihak peniaga dan pembeli, lebih faham," jelasnya.

Artikel Lain