RAMADAN tidak menuntut umat Islam berpuasa semata-mata tetapi juga bulan penuh keberkatan sekali gus membuka peluang keemasan untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Umat Islam diberikan satu hadiah luar biasa yang tiada tandingan, iaitu Lailatul Qadar yang merupakan malam lebih baik daripada seribu bulan.
Sepanjang 30 hari Ramadan, malam Lailatul Qadar adalah paling dinanti-nantikan, yang mana ia dikatakan berlaku dalam 10 malam terakhir kerana pintu rahmat terbuka seluas-luasnya, doa dimakbulkan, dan amalan dilipat ganda pahalanya.
Namun bilakah tarikh jatuhnya malam istimewa itu?
Menurut Majlis Keselamatan Negara, petua yang digunakan oleh Imam Ghazali dan ulama-ulama lain untuk mencari malam Lailatul Qadar adalah berpandukan kepada tarikh permulaan puasa atau awal Ramadan.
Umat Islam bagaimanapun tetap digalakkan untuk bersungguh-sungguh mencari malam istimewa itu dengan melakukan ibadah setiap hari sehinggalah malam terakhir Ramadan.
Antara ganjaran seseorang yang menghidupkan malam Lailatul Qadar adalah pahala ibadahnya seumpama dia beramal 1,000 bulan malah dosa-dosa yang lalu akan diampunkan.
Umat Islam diseru untuk bersungguh-sungguh mencari malam istimewa Lailatul Qadar.
Berikut adalah kaedah perkiraan mengikut Imam Ghazali:
1. Jika awal Ramadan jatuh pada hari Ahad atau Rabu, maka Lailatul Qadar pada malam yang ke-29.
2. Jika awal Ramadan jatuh pada hari Isnin, maka Lailatul Qadar pada malam yang ke-21.
3. Jika awal Ramadan jatuh pada hari Selasa atau Jumaat, maka Lailatul Qadar pada malam yang ke-27.
4. Jika awal Ramadan jatuh pada hari Khamis, maka Lailatul Qadar pada malam yang ke-25.
5. Jika awal Ramadan jatuh pada hari Sabtu, maka Lailatul Qadar pada malam yang ke-23.
Bagi tahun ini, umat Islam mula berpuasa pada hari Ahad iaitu pada tarikh 2 Mac lalu.
Walaupun mengikut jangkaan Lailatul Qadar jatuh pada malam ke-29, umat Islam tetap digalakkan untuk bersungguh-sungguh mencari malam istimewa itu dengan melakukan ibadah setiap hari sehinggalah malam terakhir Ramadan.