KESUNGGUHAN dan ketelitian adik Luth Irfan Irwan membentuk karakter kartun kegemarannya dengan hanya menggunakan clay (tanah liat) cukup membuatkan sesiapa saja yang melihat akan berasa kagum. Mana tidaknya, tanpa sebarang rujukan, anak istimewa yang mesra disapa Irfan ini baharu berusia lapan tahun, namun kebolehkannya bagaikan seorang pro apabila jari jemarinya begitu laju menggentel tanah liat bagi menvisualkan imaginasinya. Tidak cukup sekadar itu, Irfan cukup cermat dan fokus dengan hasil kerjanya, malah turut mempunyai pelbagai alatan tambahan seperti spanar, dawai, pencanai bagi memastikan seni yang dihasilkan menepati citarasanya. Ifran menunjukkan replika karakter kartun kegemarannya yang dibuat sendiri menggunakan tanah liat. "Sejak usianya tiga tahun lagi Irfan sangat berminat dengan clay. Pada awalnya saya terkejut juga melihat kreativitinya menghasilkan karakter kartun kegemarannya, semuanya dibentuk hanya menggunakan tanah liat. "Kebiasaannya dia memang tak rujuk mana-mana gambar sebelum buat tetapi kalau datang mood dia, pelbagai karakter kartun dalam kotak fikiran yang menjadi obsesinya akan dia buat. Irfan penyeri hidup pasangan Suriyanita dan Irwan. "Apa yang ada dalam mindanya, itulah yang akan diterjemahkan dalam bentuk clay...kerana dia memang obses dengan clay," kata ibunya, Suriyanita Sidek ketika ditemui baru-baru ini. Kesan Irfan mengalami masalah disleksia Pun begitu kata Suriyanita, di sebalik minat anaknya itu, Irfan sebenarnya mempunyai masalah pembelajaran khusus iaitu disleksia yang dikesan sejak awal tahun ini. Malahan, dia mula merasakan sesuatu yang tidak kena dengan anak kesayangannya itu apabila Irfan sering melakukan kesilapan berulang ketika membaca huruf, perkataan atau nombor (bacaan terbalik). Irfan sangat teliti dan fokus apabila berkaitan dengan minatnya. Selain itu, anak tunggal pasangan ini juga turut dimasukkan ke kelas khas membaca di sekolahnya sejak Tahun Satu lagi. "Saya mula berasa bimbang apabila melihat Irfan mengalami kesukaran dalam membaca dan menulis, terutama subjek Bahasa Melayu. "Dia tidak dapat membaca dengan lancar, selain sering menulis huruf dan perkataan terbalik dan sangat lemah dalam menggabungkan suku kata dalam Bahasa Melayu. Antara karya terbaharu Irfan. "Apabila dia diletakkan dalam kelas khas membaca saya tahu ada sesuatu tidak kena dengannya walaupun pihak sekolah tidak mengklasifikasikan dia sebagai disleksia pada ketika itu. "Sebagai ibu sudah tentu saya bimbang dengan masalah dihadapinya itu dan atas dasar itu saya ambil inisiatif untuk membuat pemeriksaan terhadapnya," jelasnya. Fokus kelebihan bukan kekurangan Cerita ibu berusia 38 tahun ini lagi, penilaian yang dibuat di Persatuan Disleksia Malaysia menunjukkan Irfan mengalami disleksia ringan, namun tahap IQ anaknya tinggi dan hanya mengalami kesukaran dalam linguistik. Saya tidak mahu fokus kepada kekurangan tetapi melihat kelebihan yang ada pada diri Ifran. Suriyanita Sidek Ibu Luth Irfan Irwan Walaupun pada awalnya berasa sedih dengan keadaan Irfan, Suriyanita dan suami, Irwan Affendy Th’ng, 37, melihat anaknya itu bukan mempunyai kekurangan sebaliknya "melihat sesuatu perkara dengan cara berbeza". Keadaan itu juga sebenarnya membuatkan Irfan istimewa berbanding kanak-kanak biasa lain dan minat mendalam terhadap bidang seni membuktikan perkara itu. "Apabila saya kenangkan balik pada usia empat tahun dia mampu menghasilkan replika pesawat menggunakan clay dengan hanya menggunakan imaginasinya, ia perkara mengagumkan. Sebagai ibu Suriyanita sangat menyokong minat anaknya itu. "Saya tidak mahu memfokuskan kepada kekurangan yang ada pada dirinya sebaliknya melihat apa kelebihan Irfan kerana disleksia tidak menjadikan dia berbeza daripada kanak-kanak normal lain. "Peluang ini juga saya ambil untuk lebih fokus kepadanya, bantu dia memperbaiki diri terhadap pelajaran dan minatnya," ujarnya. Tidak menolak tentang stigma masyarakat berhubung disleksia, Suriyanita berkata, perkara itu berlaku mungkin disebabkan kurang pendedahan atau maklumat mengenai situasi sebenar kanak-kanak yang mengalami masalah itu. Antara hasil kerja Irfan. "Persepsi negatif masyarakat itu perkara biasa kerana ia berlaku disebabkan tiada maklumat yang betul mengenai disleksia. "Paling penting jangan membandingkan kanak-kanak disleksia ini kerana setiap daripada mereka berbeza dan tidak semestinya mempunyai kekurangan atau keistimewaan yang sama," jelasnya.