suria

Bekas guru tadika tak anggap kanser punca hilang payudara, tapi percaya Tuhan 'ambil' sesuatu yang rosak

Gambar hiasan.

DUNIANYA dirasakan kelam seketika apabila disahkan menghidap kanser payudara tahap dua kira-kira 12 tahun lalu.

Ketika itu, S. Kamalambikai berusia 48 tahun dan bergelar seorang guru tadika.

Terdetik di hatinya untuk bertanya mengapa Tuhan memilih dia untuk menanggung penderitaan itu, namun ia seperti menyalahkan takdir.

Menceritakan semula saat dia mengetahui tentang penyakitnya itu, Kamalambikai berkata: "Saya terbangun pada pukul 3 pagi dan berasa tangan kebas. Kemudian, saya periksa ada ketulan di bahagian payudara.

"Tanpa membazir masa, saya terus ke hospital dan memang sah ada ketulan," katanya ketika ditemui mStar Online.


Kamalambikai disahkan mengidap kanser payudara kira-kira 12 tahun lalu.

Wanita yang masih bujang itu tidak melakukan mamogram, sebaliknya terus menjalani biopsi dan mendapati ketulan tersebut adalah sel kanser.

Biopsi adalah pengasingan sel, tisu, atau cecair daripada tubuh pesakit untuk mengkaji ciri-ciri sesuatu penyakit atau bagi mengesan bahagian tubuh yang mengalami jangkitan.

"Selepas biopsi, saya jalani pembedahan pula pada 1 Ogos 2007 dan kemudian diikuti dengan melakukan enam kitaran kemoterapi.

"Kemoterapi ketiga agak sukar kerana saya mengalami strok ringan, gejala muntah tanpa henti, tidak boleh tengok cahaya matahari dan pada kemoterapi seterusnya, saya mengalami sakit kaki yang teruk," ujarnya.

Menurut wanita yang kini berusia 60 tahun itu, rawatan kemoterapi pertamanya adalah pada 23 Ogos 2007 dan yang terakhir pada 6 Disember tahun sama.

Kamalambikai turut aktif menjadi sukarelawan bagi kempen kesedaran kanser payudara anjuran Hospital Kuala Lumpur.

Kanser payudara juga memaksa Kamalambikai untuk menjalani mastektomi, iaitu pembedahan membuang bahagian payudara yang dijangkiti sel barah.

"Saya tidak pernah berputus asa dan saya tidak anggap saya kehilangan payudara tetapi Tuhan telah ambil sesuatu yang 'rosak' daripada tubuh saya.

"Saya nak teruskan hidup demi anak saudara yang ketika itu baru berusia tiga tahun. Impian saya untuk lihat dia ke sekolah dan masuk universiti," jelas sukarelawan kanser itu.

Dia yang kini disahkan bebas kanser mahu mencurah bakti kepada mereka yang senasib dengannya agar mereka tidak berputus asa dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Bagi Kamalambikai, kebahagiaan dirinya adalah apabila dia dapat membantu orang lain melawan kanser.

kanser payudara

Artikel Sebelum

Tip kesan kanser payudara

Artikel Lain