suria

Jangan main beli saja! Ini sebab kenapa perlu baca label makanan dulu sebelum dibawa pulang ke rumah

Sebelum membuat sebarang pembelian pengguna disarankan untuk membaca label makanan pada sesuatu produk.

RAMAI antara kita langsung tidak mengambil endah tentang label makanan apabila membuat pembelian barangan runcit kerana menganggap ia perkara remeh.

Membaca label makanan banyak manfaatnya tambahan pula kita kini berada di era yang memerlukan kepekaan terhadap penghasilan dan khasiat sesuatu makanan. Betulkan?

Masih belum terlambat untuk mengambil berat tentang perkara itu kerana ia bukan sahaja menambah pengetahuan tentang nutrisi sesuatu produk tetapi pada akhirnya bermanfaat untuk kesihatan diri dan keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketahui 'rahsia' telur dalam mengurangkan berat badan!

ARTIKEL BERKAITAN: Orang bujang dan ibu-ibu... ini 7 kesalahan lazim perlu dielak ketika guna microwave

Pengurus Sains dan Pemakanan Fonterra Brands (Malaysia) Sdn Bhd, Wendy Goh Su Chin berkesempatan berkongsi beberapa perkara tentang kepentingan membaca label makanan.

Label makanan kebiasaannya menyenaraikan amaun tenaga, karbohidrat, lemak, vitamin dan mineral. 

1. Ketahui apa yang perlu dilihat terlebih dahulu

Panel Makluman Pemakanan (NIP) merupakan jadual yang terdapat pada label makanan yang dipek. Ia menyenaraikan amaun tenaga, karbohidrat, lemak, vitamin dan mineral yang terkandung dalam produk makanan.

Mengetahui amaun khasiat-khasiat ini dalam setiap 100g (pepejal) atau 100ml (cecair) membolehkan anda untuk membandingkan produk makanan serupa daripada jenama berbeza.

Seorang pengguna yang mementingkan kesihatan akan menggunakan aspek ‘setiap sajian’ sebagai panduan untuk merancang pengambilan hidangan seimbang yang memenuhi keperluan nutrisi beliau.

2. Senarai ramuan dalam aturan kandungan

Kebanyakan pihak tidak menyedari bahawa ramuan disenaraikan daripada amaun tertinggi kandungan ke paling rendah dalam produk terlibat.

Sebagai contoh, apabila ramuan suatu produk disenaraikan sebagai “pepejal susu, kalsium, vitamin A”, ia bermaksud susu pepejal merupakan ramuan utama dengan kandungan tertinggi diikuti kalsium dan seterusnya.

Oleh itu, adalah penting untuk mengetahui sesuatu dengan segera apabila anda ingin membuat pembelian suatu produk tertentu bagi memastikan bahawa ia merupakan produk tulin.

Pengguna juga harus sedar bahawa sesetengah ramuan ada kalanya didatangkan dalam bentuk-bentuk berbeza pada label makanan. Sebagai contoh, kadang-kala gula dilabelkan sebagai gula perang, sukrosa, glukosa dan pepejal sirap jagung.

Membaca senarai ramuan pada label makanan juga membenarkan ada mengesan sebarang alergen berpotensi.

3. Memahami nutrisi

Menjadi seorang pengguna yang bijak dan mementingkan kesihatan bermakna anda mengetahui dengan tepat ungkapan-ungkapan berkaitan nutrisi yang sering digunakan dan boleh didapati pada pembungkusan produk.

Ungkapan seperti ‘rendah lemak’, ‘sumber gentian’ dan ‘kalori rendah’ sebenarnya mempunyai definisi standard yang diukur secara spesifik.

Terdapat dua jenis penyataan nutrisi yang biasanya digunakan pada bungkusan produk makanan; (1) kandungan khasiat dan (2), berkaitan fungsi nutrisi.

Penyataan nutrien menggambarkan aras kandungan sesuatu nutrien dalam produk makanan seperti yang dinyatakan sebelum, ‘kalori rendah’ dan ‘rendah lemak’.

Sementara penyataan fungsi nutrien menggambarkan peranan fisiologi nutrien dalam pertumbuhan, perkembangan dan fungsi normal tubuh; Contohnya, Inulin yang membantu peningkatan bifidobacteria usus dan membantu mengekalkan persekitaran usus yang baik.

4. Logo Pilihan Lebih Sihat (HCL)

Pelbagai produk membawa sebuah logo yang menggambarkan ia sebagai pilihan lebih sihat dalam kategori produk yang sama.

Produk-produk yang menunjukkan Logo Pilihan Lebih Sihat (HCL) telah memenuhi kriteria tertentu yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sebagai contoh, mungkin terdapat dua roti daripada jenama berbeza, dengan salah satu daripadanya memaparkan HCL memandangkan ia telah memenuhi kriteria nutrien bersesuaian yang telah dikhususkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Logo tersebut memaklumkan pengguna bahawa produk berkenaan telah memenuhi kriteria yang dikehendaki Kementerian dan membenarkan mereka membuat perbandingan antara produk.

Ini merupakan langkah yang diambil Kementerian Kesihatan untuk memperkasakan pengguna bagi membuat pilihan bermaklumat berkenaan makanan, sebagai sebahagian daripada misi untuk menangani peningkatan statistik obesiti, penyakit jantung dan diabetes negara.

Info penting pada label makanan yang tidak patut diabaikan.

5. Tenaga adalah penting

Banyak produk makanan memaparkan sebuah ikon yang dipanggil pelabelan Depan Pek (FOP) untuk tenaga di bahagian hadapan pembungkusan.

Pelabelan FOP untuk tenaga merupakan penunjuk kandungan kalori (yang digambarkan dalam perkataan kcal) dalam setiap hidangan produk makanan. Kalori dinyatakan dalam bentuk ‘Tenaga’.

Ia juga menyediakan peratusan tenaga yang disumbangkan kepada purata keperluan tenaga harian yang disyorkan (2,000 kcal) seorang dewasa.

Sehubungan itu, ia membolehkan pengguna untuk memeriksa dan merancang dengan pantas pengambilan tenaga harian masing-masing. Ini sekali gus boleh membantu pengguna merancang diet yang seimbang dengan lebih mudah.

Label makanan, nutrisi, HCL, Kcal

Artikel Lain