suria

Badan rasa lebih ringan selepas keluar tandas, betul ke kerap buang air besar boleh kuruskan badan?

Ramai menganggap kerap buang air besar membantu menguruskan badan.

SELEPAS diproses, dicerna dan diambil semua khasiatnya, sisa-sisa makanan akan dikeluarkan oleh tubuh dengan cara membuang air besar.

Persoalannya, benarkah berat badan akan turun selepas 'membuang' sekali gus akan membuatkan anda kurus?

Ya... tak dapat dinafikan ramai yang membuat kesimpulan bahawa badan akan lebih ringan selepas seseorang itu keluar dari 'rumah kecil'.

Tetapi, dalam hal ini ada beberapa perkara yang perlu difikirkan.

Jika benar berat badan menurun, adakah ia stabil? Apakah benar cara ini efektif untuk menurunkan berat badan?

Sebenarnya, untuk menjawab persoalan itu perkara pertama yang perlu anda tahu adalah dengan mengetahui berapa banyak najis yang dibuang oleh tubuh dalam keadaan normal.

Rata-rata, anda mengeluarkan 100-250 gram najis ketika membuang air besar dengan waktu yang diperlukan adalah lebih kurang 33 jam bermula dari makanan dicerna hingga dikeluarkan dari tubuh.

Namun, ada beberapa faktor yang dapat mempengaruhi berat najis setiap orang.

Sistem pencernaan yang sihat penting untuk tubuh.

Mereka yang makan dan minum lebih banyak atau yang lebih jarang buang air besar biasanya mengeluarkan najis yang lebih besar atau banyak dan padat.

Faktor lainnya seperti ukuran tubuh, amalan pemakanan dan berapa banyak air yang anda minum.

Buang air besar sememangnya dapat mengurangkan beberapa ratus gram dari jumlah berat badan anda.

Bagaimanapun, kerana jumlahnya yang sedikit, cara ini tidak boleh dianggap sebagai kaedah paling berkesan menurunkan berat badan.

Mungkin ada yang bertanya, jika begitu mengapa perut atau badan terasa begitu ringan setelah membuang air besar?

Jawabnya kerana, anda tidak hanya mengeluarkan tahi ketika buang air besar. Sebaliknya, anda juga mengeluarkan gas yang dihasilkan oleh bakteria yang membusukkan najis.

Gas ini sering kali membuatkan perut anda terasa penuh. Inilah sebabnya perut anda terasa jauh lebih lega dan nyaman setelah membuang air besar.

Walaupun buang air besar tidak mempengaruhi berat badan secara keseluruhan, sistem pencernaan yang sihat juga penting untuk menurunkan berat badan.

Salah satu ciri sistem pencernaan yang sihat adalah kemampuan seseorang membuang buang air besar secara rutin bagi mengelakkan sembelit.

Dalam hal ini ada satu tip mudah yang boleh anda amalkan iaitu mengambil makanan berserat harian yang mencukupi.

Serat merangsang pergerakan sistem pencernaan sehingga proses buang air besar menjadi lancar. -Kompas

najis, kurus, sembelit, berat badan

Artikel Lain