suria

Stres tengok tubuh selebriti 'slim' selepas bersalin? Fakta ini mungkin buat anda tak lagi gelabah nak kurus cepat

Model kecergasan dan jurulatih peribadi @emilyskyfit menunjukkan keadaan kulitnya yang berkedut selepas melahirkan seorang bayi perempuan. - Instagram

SIAPA bakal ibu di sini yang sudah mula bimbang bagaimana nak turunkan berat badan selepas melahirkan si manja tidak lama lagi?

Kalau tengok di Instagram, nampak gaya macam anda tidak perlu risau tentang penurunan berat badan.

Golongan selebriti dan influencer antarabangsa seolah-olah cepat je dapat kembali ke bentuk badan asal mereka yang langsing dan menggoda tu.

Kadang-kadang tak perlu tunggu berbulan-bulan, beberapa hari selepas bersalin je dah boleh nampak perubahan.

Misalnya, gambar otot abdomen yang dimuat naik oleh pengamal kesihatan aktif dan Youtuber @sarah_days hanya 11 hari selepas masuk wad bersalin memang boleh buat sesiapa yang melihat rasa cemburu.

Keadaan badan Sarah selepas seminggu melahirkan anaknya. - Instagram @sarah_days

Sarah juga memaklumkan, dalam masa lima hari sahaja dia sudah kehilangan 8kg dari 10kg berat badannya yang bertambah semasa hamil.

Sementara itu, jurulatih senam @carlyrowena juga tidak ketinggalan berkongsi gambar tubuhnya yang mengancam selepas empat minggu bersalin.

Namun, sejauh mana gambar-gambar ini realistik?

Menurut Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (United Kingdom), secara puratanya golongan wanita mengalami peningkatan berat badan antara 10-12.5 kg semasa tempoh kehamilan.

Standard penurunan berat badan yang sihat adalah tidak lebih dari 700 gram seminggu.

Carly mendukung bayinya, Jax. - Instagram @carlyrowena

Ini bermakna, proses penurunan badan yang ideal memerlukan antara 15 dan 20 minggu untuk kembali ke bentuk tubuh asal.

Laman web gaya hidup popular, Harpers Bazaar bertanya kepada pakar untuk mencari jawapannya.

Pengasas Bumps & Burpees Charlie Launder berkata: "Genetik seseorang memainkan peranan besar dalam menentukan seberapa cepat rahim dan organ mereka yang lain mengecut selepas melahirkan bayi.

"Malangnya, tiada apa yang boleh anda lakukan untuk mempercepatkan proses ini," ujarnya.

Launder turut berpesan agar anda memerhatikan tubuh ibu-ibu yang anda ikuti di Instagram itu sebelum mereka hamil.

Jangan biarkan anda terlalu dipengaruhi oleh gambar yang tidak realistik di media sosial. - Gambar hiasan/Instagram @katie_newnham

Memang sejak awal lagi tubuh mereka kelihatan langsing dan tidak semestinya mengamalkan gaya hidup sihat pun.

Maka, tidak hairanlah badan mereka cepat sahaja kembali ke bentuk tubuh idaman.

Jadi, janganlah pening-pening kerana kehilangan berat badan dengan cepat selepas bersalin adalah tidak bagus.

Ia boleh mengurangkan penghasilan susu badan atau mengehadkan kandungan nutrien dalam susu sehingga menyebabkan anda berasa kurang bertenaga.

hamil, turun berat badan

Artikel Lain