PAKAR kulit mendedahkan punca masalah kulit wajah boleh ditentukan oleh kedudukan jerawat yang tumbuh di kawasan tertentu. Pakar bedah kosmetik yang berpangkalan di London, England, Dr Yannis Alexandrides mendedahkan bagaimana wajah boleh dibahagikan kepada beberapa zon. Beliau memberitahu tentang perbezaan punca masalah kulit di kawasan yang berlainan. ARTIKEL BERKAITAN: Minum kopi boleh jadi bagus dan berbahaya... ini sebabnya Bercakap secara eksklusif kepada Femail, Dr Yannis berkata, jerawat yang sering tumbuh di bahagian kening, pipi dan hidung adalah disebabkan penghasilan minyak yang berlebihan. Selain itu, jerawat di kawasan tersebut terbentuk disebabkan oleh peluh berlebihan atau kesan penggunaan produk penggayaan rambut atau diet pemakanan yang tidak seimbang. Lokasi jerawat menentukan jenis masalah kulit yang dialami seseorang. - Gambar hiasan/Daily Mail Jika anda mengalami masalah jerawat di bahagian bawah pipi, rahang dan dagu pula, ia mungkin disebabkan oleh hormon yang tidak seimbang atau penggunaan telefon bimbit. Walaupun telefon bimbit kelihatan bersih, tetapi ia mengandungi bakteria yang boleh merosakkan kulit. Sementara itu, mereka yang memiliki jerawat putih (whiteheads) di beberapa kawasan wajah adalah berpunca daripada faktor persekitaran, diet dan ketidakseimbangan bakteria. Anda haruslah membersihkan dan menggunakan pencuci yang boleh mengelupaskan (scrub) permukaan kulit yang memerangkap debu dan sebum. Dr Yannis mencadangkan agar kain pembersih wajah yang suam digunakan untuk membuka pori-pori kulit dan pencuci yang bersesuaian dengan kulit untuk menghilangkan bintik hitam. Hormon yang tidak seimbang punca jerawat tumbuh di kawasan rahang. - Medical News Today “Gunakan ejen pengelupasan yang berasaskan asid untuk menyingkirkan sel kulit mati secara lembut dan membantu membersihkan pori-pori yang tersumbat. “Cuci muka hendaklah dilakukan lebih dari sekali sehari bagi memastikan wajah anda sentiasa bersih. “Bersihkan muka pada waktu pagi untuk menyingkirkan sebum yang terkumpul semalaman di muka ketika tidur dan bersihkan sekali lagi pada sebelah petang untuk menghilangkan debu yang terbentuk sepanjang hari,” katanya. Tambah pakar bedah kosmetik itu, sebarang solekan pada wajah hendaklah dibersihkan sebaik tiba di rumah. Ini kerana semakin lama anda membiarkannya, maka semakin lama kotoran akan melekat pada wajah. Situasi ini akan menyebabkan kulit wajah jadi bermasalah dan semakin sukar untuk dirawat. - Daily Mail UK