HATI isteri mana yang tidak remuk apabila mengetahui suami yang dikasihi sepenuh hati curang di belakangnya? Hati yang luka itu bertambah parah apabila mengetahui suami yang dihormati selama ini bukan bercinta dengan wanita lain sebaliknya memadu kasih dengan kaum sejenisnya! Ya! Golongan ini sememangnya wujud walaupun telah berkahwin, malah ada yang mendirikan rumah tangga semata-mata untuk menutup dan mengaburi mata masyarakat. ARTIKEL BERKAITAN: "Mak ayah bukan neraka, mereka kunci syurga" - Guru kongsi kisah benar luahan bapa 'makan hati' dengan anak-anak buat ramai tersentak! Tidak dinafikan ramai lelaki jenis ini berjaya berubah selepas berkahwin serta hidup bahagia bersama keluarga, namun ada segelintir yang terus melakukan 'gerakan bawah tanah' semata-mata memuaskan nafsu songsang mereka. Perbuatan itu bukan sahaja berdosa besar di sisi Allah, malah ia boleh mengakibatkan penyakit kelamin termasuk HIV sekiranya melakukan seks rambang serta bertukar-tukar pasangan. Luahan hati seorang wanita kepada Asma' Harun. Itu juga yang berlaku kepada seorang wanita yang menyangka rumah tangga yang dibina atas dasar cinta sejak 13 tahun lalu akan berkekalan sehingga ke akhir hayat namun ujian berat ini menimpa dirinya. Luluh hatinya apabila suaminya disahkan positif HIV, sekali gus menjawab teka-teki mengenai perubahan suaminya tiga tahun kebelakangan ini yang rupa-rupanya menjalinkan hubungan songsang dengan lelaki yang dikenalinya hanya menerusi Facebook. Namun kata wanita itu, dia beruntung kerana tidak dijangkiti penyakit sama selepas membuat ujian darah. "Saya sedang berdepan dengan ujian yang sangat berat. Allah uji saya, saya perlu kuat dan terus kuat. Suami yang saya kahwini selama 13 tahun akhirnya 'kantoi' berhubungan dengan sesama jantina. "Lemah longlai lutut saya, berdebar, takut, berkecamuk... macam-macam saya fikir. Ujian ini semakin berat buat saya... macam mana saya nak menghadapinya?," katanya menerusi mesej yang dihantar kepada penceramah bebas, Asma' Harun. Di sebalik perbuatan buruk lelaki itu, wanita itu bagaimanapun memberitahu suaminya seorang yang sangat baik malah rapat dengan anak-anak mereka. Sehinggalah tindakannya membuka akaun Facebook tiga tahun lalu mengubah suasana bahagia rumah tangga mereka sehingga sanggup berlaku curang dengan kaum sejenis. Wanita ini beruntung kerana tidak dijangkiti HIV. Suami insaf, setiap malam solat taubat Sejak disahkan positif HIV, wanita itu memberitahu suaminya setiap hari akan bangun malam bermunajat, bertaubat kepada Allah selain air matanya bercucuran memohon kemaafan daripadanya dan anak-anak. Walaupun hatinya remuk, dia tetap ingin pertahankan rumah tangganya demi anak-anak mereka yang tidak mengerti apa yang sedang berlaku. Malah kata wanita itu, sekiranya perceraian menjadi pilihan dia bimbang akan menyebabkan hidup suaminya lebih musnah. "Dia terlalu rapat dengan anak-anak, dia dah menyesal malah sudah ke hospital untuk rawatan susulan dan ubat. "Apa daya saya untuk pisahkan suami dengan anak-anak. Saya reda andai takdir saya perlu hidup dengan dia," katanya. Wanita itu turut memberitahu dia mahu membawa suami dan anak-anaknya ke syurga dan menganggap ujian ini adalah asbab dirinya ke syurga. "Saya nak bawa dia dan anak-anak ke syurga. Tiada kekuatan melainkan kekuatan Allah, andai ujian ini asbab saya ke syurga-Nya saya reda. Dia sebaik-baik perancang," katanya. Sementara itu, Asma' memberitahu walaupun hakikat kejadian menimpa wanita itu sangat sukar namun Allah sentiasa membuka pintu taubat dan rahmat-Nya. "Sang isteri sedang mengumpul kekuatan untuk satu kemaafan yang menuntut bukan sedikit pengorbanan. "Saya mohon doakan wanita ini terus positif melalui kehidupan dan diberi jalan keluar terbaik daripada Allah," ujarnya.