suria

Mungkin remeh... Awas! 5 perkara ini petanda anda tak bahagia dengan pasangan

Perubahan sikap pasangan boleh disebabkan kerana sudah tiada rasa sayang atau bahagia dalam sesuatu hubungan. Gambar Sekadar Hiasan

DALAM sesebuah hubungan, perbuatan itu adalah lebih penting daripada kata-kata manis dalam memastikan ikatan yang terjalin sentiasa mewangi.

Sesiapa sahaja boleh mengucapkan kata-kata seperti 'saya sayang awak' tetapi berapa ramai yang sanggup berkorban untuk anda dan melakukan perkara yang adakalanya tidak masuk akal untuk anda bagi membuktikan cinta mereka?

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan terpedaya! Kenali pasangan dalam dan luar... tepuk dada tanya selera

Jika anda tertanya-tanya sama ada hubungan yang terjalin benar-benar bahagia atau pun sebaliknya, ada beberapa hal yang boleh menggambarkan situasi ikatan yang terjalin.

Menurut ahli terapis pasangan, Dr Gary Brown, walaupun sesuatu perkara itu nampak remeh namun sebenarnya ia jelas menunjukkan perasaan sebenar kedua-dua belah pihak terhadap satu sama lain dan keadaan hubungan seseorang itu.

Pun begitu, kekurangan itu bukan bererti hubungan anda sudah tidak boleh diselamatkan sebaliknya ia adalah indikasi untuk mengenal pasti dan melakukan perubahan agar ikatan yang terjalin kekal utuh dan bahagia.

Berikut adalah 5 situasi yang boleh menjadi petunjuk sama ada anda atau pasangan berada dalam keadaan tidak bahagia.

Ada kalanya perkara remeh boleh menyebabkan keruntuhan rumah tangga.

1. Terima Kasih

Perkataan terima kasih itu nampak remeh tetapi ia sebenarnya penunjuk jelas tahap hubungan anda.

Menurut Dr Brown jika dahulu anda saling berterima kasih atas hal kecil seperti membancuh kopi, mengemas rumah dan kini tidak lagi berupaya menzahirkan penghargaan buat pasangan ia petanda hubungan anda menjurus ke arah kehancuran.

Ini kerana anda tidak bahagia sehingga tidak lagi memberi perhatian terhadap hal-hal remeh dilakukan pasangan dan mungkin anda tidak menyedari tentang pentingnya 'terima kasih'.

2. Tiada lagi luahan isi hati

Sebagai pasangan suami isteri - komunikasi adalah sangat penting termasuk berbicara tentang hal-hal penting sehinggalah apa yang berlaku kepada anda setiap hari.

Perbualan dari hati ke hati itu sebenarnya menunjukkan anda peduli terhadap pasangan dan merasakan mereka insan paling penting untuk mengetahui segala yang terbuku di hati.

Kata Dr Brown, apabila anda atau pasangan mula mengelak daripada bercakap tentang hal-hal penting keadaan ini perlu diberi perhatian.

Ini kerana ia memberi petanda bahawa anda tidak lagi berminat dalam hubungan itu malah dalam situasi lebih buruk ia boleh menimbulkan perasaan benci sehingga akhirnya rasa tidak bahagia itu muncul.

3. Tidur pada waktu yang berbeza

Mungkin nampak remeh tapi kata Dr Brown ia memberi kesan cukup besar apabila pasangan akan mula merasakan mereka tidak lagi penting.

Bayangkan sebelum ini, masuk tidur bersama, bangun bersama - melakukan aktiviti berkualiti bersama namun kerana waktu tidur berbeza ia menunjukkan bukan sahaja anda tidak berminat dengan pasangan. Adakah itu bahagia?

4. Tiada lagi panggilan sayang

Panggilan nama seperti sayang, baby, honey dan sebagainya mungkin kedengaran biasa tetapi ia juga penting dalam mengeratkan ikatan suami isteri.

Ini kerana panggilan manja itu menunjukkan perasaan anda terhadap pasangan dan ia antara cara meluahkan rasa kasih di antara suami isteri.

5. Tiada lagi kiriman mesej atau ciuman selamat malam

Kadang-kadang perkara paling kecil dan remeh boleh menunjukkan betapa sayangnya anda terhadap pasangan.

Kiriman mesej ringkas bertanya tentang khabarnya di tempat kerja atau memberi ciuman di malam hari menunjukkan mereka adalah insan yang sentiasa dalam fikiran anda. - TEMPO 

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan