suria

Jangan terpedaya! Kenali pasangan dalam dan luar... tepuk dada tanya selera

Sikap panas baran adalah sifat buruk yang boleh merosakkan sesuatu hubungan. Gambar FORUM DAILY

KEGANASAN terhadap pasangan bukan satu isu baharu dalam masyarakat kita, namun ada yang enggan tampil kerana bimbang mendapat malu selain memikirkan masa depan keluarga serta anak-anak sekiranya perkara itu dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun tidak semua wanita yang sanggup diperlakukan begitu dan tampil mempertahankan hak mereka.

Seperti baru-baru ini, seorang aktres yang membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa pukul bekas tunangnya dan isu itu mendapat perhatian umum.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri terpaksa teruskan hidup bersuamikan penghidap HIV! Bahagia 13 tahun musnah selepas suami buka akaun Facebook

Bagi personaliti media sosial yang banyak menulis mengenai isu rumah tangga dan perhubungan, Akhtar Syamir atau lebih dikenali sebagai BroOhsem, terdapat beberapa langkah untuk mengesan pasangan yang mempunyai sikap panas baran.

Terdapat beberapa cara untuk mengesan sikap panas baran pasangan anda sebelum terlambat. 

Malah kata Akhtar, individu panas baran sehingga sanggup menggunakan kekerasan terhadap pasangan disifatkan sebagai seorang yang hina dan sikap buruk itu adalah pilihan.

Atas dasar itu juga kata Akhtar, pasangan yang belum berkahwin seharusnya tahu untuk mengesan tanda-tanda panas baran terhadap pasangan sebelum mengambil keputusan hidup bersama.

"Jika tidak yakin, saya nasihatkan jangan sebab baran yang sebelum kahwin akan menjadi lebih buruk selepas mendirikan rumah tangga kerana adanya 'kuasa veto' selepas bernikah yang akan disalahgunakan oleh orang yang panas baran ini," ujarnya.

Akhtar turut menyenaraikan 10 tanda-tanda pasangan anda seorang yang panas baran;

1. Maki hamun

Penggunaan perkataan kesat kepada anda dan orang lain. Sekiranya semasa bertemu janji pun sudah maki-hamun, apabila sudah berkahwin pasti akan lebih buruk.

2. Serangan fizikal

Lempang, tumbuk, cekik, tarik tudung atau rambut, mencubit serta genggaman tangan secara kasar - Jika pernah terjadi perkara seperti ini, larilah jauh-jauh. Lupakan si dia, keluar terus dari radar kehidupannya. Jika tidak, saya jamin anda akan merana.

3. Marah yang meluap

Pasangan anda penyayang dan baik orangnya tetapi ada ketikanya dia menjadi seorang yang sangat pemarah. Kadang-kadang perkara itu mudah sahaja seperti kenderaan lain potong barisan, tiba-tiba dia jadi terlalu marah, memaki hamun, meludah, bergaduh dan sebagainya.

Perlu tahu yang semasa dia berada dalam keadaan 'normal' itu adalah saat dia 'cover' baran dirinya. Jangan terpedaya.

4. Sering mengeluarkan perkataan menyakitkan hati

Bila anda ada masalah, pasti anda akan diperli sebagai cara untuk si dia melepaskan geram. Kadang-kala dia akan bersembunyi di sebalik ayat "saya bergurau jer" sedang perkara itu sering dilakukannya.

5. Menjerit

Ini selalu disalahertikan sebagai bercakap dengan kuat, tapi sebenarnya tidak. Bila dia panggil anda, dia panggil dengan jeritan terutamanya apabila timbul sesuatu krisis.

Jeritan ini lama kelamaan akan menjadi makian. Jeritan juga menandakan yang dia tidak menghormati anda dan tidak menjaga maruah anda jika ia dilakukan di hadapan orang lain.

Perkongsian Akhtar atau BroOhsem mengenai isu itu di Facebook.

6. Tidak boleh bergurau

Ada yang tidak boleh gurau langsung tapi ada yang sekejap boleh, sekejap tidak. Ini yang selalu merunsingkan anda.

Ada hari yang anda boleh bergurau, dia akan ketawa terbahak-bahak tetapi esoknya dia menjeling anda dengan pandangan yang amat tajam dan menakutkan, mendengus dan terus marah dengan gurauan anda.

7. Sentiasa menyalahkan orang lain

Orang yang sentiasa menyalahkan orang lain ini adalah orang yang terlalu ego dan tidak bertanggungjawab. Bila masuk bab marah, makian dan pukulan, dia akan menyalahkan anda atau orang lain di atas kelakuannya sedangkan dia yang memaki dan memukul.

8. Suka mengawal

Dahagakan kawalan dan kuasa - akibatnya anda akan 'terpenjara' walaupun sebelum berkahwin apatah lagi selepas bergelar suami-isteri.

Orang begini boleh menjadi sangat cemburu melampau yang menyesakkan nafas dan membuatkan anda rasa tercekik. Fikir panjang-panjang sama ada anda boleh hidup di 'penjara ini setahun, 10 tahun, 20 tahun? Tepuk dada, tanya selera.

9. Mengharapkan benda tak masuk akal

"Saya nak awak jangan keluar dengan kawan-kawan perempuan lain". "Saya tak nak tengok awak mesej dengan orang lain selain saya".

"Saya tak nak dalam mesyuarat awak duduk sebelah lelaki". "Saya nak awak terus balas mesej saya tak kira waktu, saya tak nak terima apa-apa alasan". -  Sangat menyesakkan bukan? Ini perkara biasa yang dihadapi orang yang ada pasangan panas baran.

10. Sentiasa mengadu dan mengeluh

Itu salah, ini salah. "Aku penat kerja, kau ape tahu?". Fokusnya hanya pada diri sendiri, dia sahaja yang betul dan orang lain salah. Ada sahaja yang tidak kena.

Tiada daya usaha, hanya mengeluh, mengadu, menyalahkan orang lain dan marah. Orang sebegini juga tidak peduli pendapat orang lain. Dia tiada empati.

11. Berdendam

Orang yang berdendam menyimpan amarahnya di dalam hati dan boleh meletup pada-bila-bila masa. Jika dia tidak mampu meluahkan dendam kepada orang yang dia dendam itu, dia akan meluahkan kepada orang yang terdekat. Selalunya pasangan dan ahli keluarga.

12. Fizikal

Orang panas baran ini apabila dia marah, mukanya akan kemerah-merahan dan uratnya akan jelas nampak. Itu bermakna, tekanan darah di dalam badannya sedang berada di kemuncak hasil dari amarahnya itu. Amat bahaya kepada orang sekeliling.

13. Tidak berperikemanusiaan

Dia terlanggar kucing? Biasa je, tiada rasa kesal, tiada rasa kasihan. Orang sebegini selalunya tidak kesiankan orang yang dalam kesusahan. Kalau yang lagi teruk tu sampai tidak berhati perut langsung sanggup memukul binatang dan mendera serangga.

Artikel Lain