suria

Cabaran makan pedas, siapa yang tak patut cuba? Doktor kata cili bantu kuruskan badan

Makan pedas tidak membahayakan kesihatan jika diambil dalam kadar tidak keterlaluan.

SEJAK kebelakangan ini challenge atau cabaran menghabiskan semangkuk mi segera dengan tahap kepedasan luar biasa menjadi trend semata-mata bagi mendapatkan reaksi netizen apabila video aksi mereka dimuat naik di YouTube atau Instagram.

Pantang ada challenge baharu, masyarakat terutamanya golongan muda berlumba-lumba untuk mencuba kerana tidak mahu dianggap ketinggalan tanpa mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sakit perut makan pedas sampai koyak seluar dalam? Pelajar terpaksa beri penjelasan, akui postingnya ‘masuk air’

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan ayam ekstra pedas, Chef Fazley persoal iklan McD, “Cuci tangan punya statement ke apa?”

Terbaharu tular cabaran menghabiskan semangkuk mi segera pedas bersama durian yang mengundang resah kerana campuran kedua-dua bahan itu dikhuatiri boleh menyebabkan masalah kesihatan serius.

Cabaran itu juga menjadi perbalahan dalam kalangan netizen yang beranggapan ia aktiviti membahayakan kesihatan, selain mampu memberi kerengsaan kepada perut seseorang.

Mengulas mengenai tanggapan itu, Pensyarah di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya. Dr. Hazreen Abdul Majid berkata, tiada kajian tertentu berhubung tanggapan cili dan rasa pedas boleh menyebabkan luka perut dan masalah usus seperti diperkatakan.

Makan mi pedas menjadi trend dalam kalangan anak muda.

Tahap kepedasan bergantung pada individu

Sebaliknya kata Dr. Hazreen, situasi itu bergantung kepada keupayaan seseorang menerima rasa pedas dan masalah mungkin timbul apabila seseorang itu tidak boleh tahan dengan rasa pedas sehingga menyebabkan kejutan dan kerengsaan kepada badan.

Jelasnya, pedas itu sendiri mempunyai kapsaisin yang menyebabkan kerengsaan seperti radang pada perut dan saluran gastrointestinal manusia sekiranya diambil secara berlebihan.

"Ia sebenarnya bergantung kepada penerimaan seseorang. Ada yang sudah biasa makan pedas sejak kecil tidak akan menghadapi sebarang masalah dan begitulah sebaliknya.

"Hal ini biasanya terjadi kepada orang yang memang mengalami masalah sembelit atau gastrik. Apabila mengambil makanan pedas maka keadaannya akan bertambah teruk," katanya.

Bercakap lanjut mengenai hal itu, Dr. Hazreen memberitahu sesetengah orang mempunyai rangsangan kapsaisin lebih rendah pada lidahnya yang menyebabkan rangsangan terhadap rasa pedas itu kurang sensitif.

Jika seseorang mempunyai masalah gastritis dan ulser, pengambilan kapsaisin  yang terkandung dalam makanan pedas juga akan menyebabkan situasi tersebut bertambah teruk.

"Melalui kapsaisin ini kita boleh melihat respons seseorang terhadap makanan pedas dan otak akan menghantar signal rasa pedas itu melalui saraf trigeminal dan vagus.

"Penghantaran signal ini yang dapat kita lihat seseorang itu ada yang berpeluh-peluh sehingga mengalirkan air mata makan pedas dan ada pula seperti tiada apa yang berlaku," jelasnya.

Seorang netizen sebelum ini pernah berkongsi twit kelakar dengan gambar seluar terkoyak seolah-olah menggambarkan tahap kepedasan menu terbaharu sebuah restoran segera. 

Cili boleh kuruskan badan!

Dalam pada itu, Dr. Hazreen juga memberitahu cili yang sudah diproses dan terdapat bahan pengawet juga bukan penyebab kepada masalah perut dan usus.

Pun begitu katanya, adalah disarankan untuk mengambil cili segar yang dimasak dengan betul bagi mengelak sebarang masalah.

"Cili dalam mi segera sebagai contoh tidak berbahaya selagi ia tidak mencapai tarikh luput tetapi itu bukan bererti kita boleh mengambilnya tanpa kawalan.

"Begitu juga dengan cili asli, meskipun ia lebih selamat, sebaik-baiknya setiap apa yang kita makan biarlah berpada-pada," ujarnya.

Sementara itu, Dr. Hazreen berkata, makanan pedas sebenarnya bukanlah semata-mata tidak baik untuk seseorang sebaliknya ia memberi banyak kelebihan.

Katanya, kandungan kapsaisin sebenarnya mampu membakar kalori kurang daripada tempoh sejam, selain ia meningkatkan metabolisme tubuh.

Malah katanya, ia juga mampu menurunkan gejala refluks gastroesofageal seperti pedih ulu hati dan senak perut.

"Bagaimanapun itu bukan bererti anda patut makan pedas tanpa kawalan dan sebaik-baiknya setiap apa yang kita makan itu diambil dalam kuantiti berpatutan dan sederhana.

"Ini termasuklah dengan apa juga cabaran makan pedas yang menjadi trend ketika ini... Ia harus dihentikan kerana penerimaan orang terhadap pedas itu berbeza-beza," katanya.

Artikel Lain