suria

Mahu perjalanan lancar ketika memandu? Pemandu wanita sila beri perhatian pada POWER, atau mungkin Rani Kulup boleh selamatkan anda!

Wanita perlu mengambil tahu mengenai perkara asas tentang enjin sebuah kereta. Foto SAHAR MISNI

GOLONGAN wanita sering dikaitkan dengan kekurangan pengetahuan mengenai kaedah pengendalian kereta terutama apabila berlaku sebarang kecemasan seperti kenderaan rosak atau terlibat dalam kemalangan.

Ramai di antara mereka dikatakan tidak tahu untuk mengendalikan situasi berkenaan dan itu belum lagi bercerita mengenai teknik pemanduan yang baik di jalan raya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya jerit sekuat hati panggil namanya” - Kereta terbabas sebelum terbalik... ‘hati kering’ guna car seat selamat nyawa anak

Atas dasar itu juga pihak Bosch Automotive Aftermarket Malaysia (Bosch AA) dengan kerjasama Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengadakan kempen kesedaran iaitu Heels & Wheels mengenai kepentingan pengendalian kereta dalam kalangan wanita baru-baru ini.

Penolong Pegawai Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Yusaimi Yusof ketika menyampaikan ceramah berkaitan Stigma Terhadap Pemandu Wanita turut berkongsi 10 tip penting yang perlu diketahui oleh kaum hawa ketika memandu.

Yusaimi berkongsi mengenai tip penting tentang memandu kepada peserta wanita.

1. Jaga kereta dan kereta akan menjaga anda

Pastikan anda mengikut saranan diberikan oleh pengeluar kenderaan terutamanya dalam penyelanggaran kenderaan.

Pemandu dinasihatkan untuk mengikut jadual servis ditetapkan. Ini penting bagi memastikan kereta anda tidak rosak di tempat-tempat terpencil ketika anda seorang diri dalam kenderaan.

2. Lakukan pemeriksaan ringkas

Sebelum memandu sebaiknya periksa POWER kereta anda. Apa itu POWER?

Petrol (bahan api) - Adakah kereta anda mempunyai petrol yang cukup dan jika tidak di mana anda merancang untuk mengisi minyak?

Oil (minyak enjin) - Periksa minyak enjin kereta anda untuk memastikan ia berada dalam keadaan secukupnya, jika kurang maknanya ada kebocoran dan perlu diperbaiki terlebih dahulu.

Water (air) - Periksa dan tambah air dalam radiator dan tangki pengelap cermin (jika perlu).

Electrics (sistem elektrik) - Periksa semua lampu termasuklah lampu brek dan isyarat membelok bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik.

Rubber (tayar) - Pastikan tayar masih dalam keadaan baik dan mempunyai tekanan yang betul. Selain itu, getah pengelap cermin, jika sudah terlalu keras sebaiknya tukar yang baharu. Ia sangat penting terutamanya ketika musim hujan.

Pastikan petrol kereta anda di isi sebelum memulakan perjalanan. 

3. Rancang perjalanan

Untuk perjalanan jauh dan berisiko (contohnya kawasan terpencil, tidak biasa dikunjungi) pastikan anda memaklumkan kepada ahli keluarga mengenai destinasi anda.

Ini memudahkan mereka untuk mengesan lokasi anda sekiranya berlaku kecemasan.

4. Sentiasa berhubung

Sentiasa berhubung dengan keluarga ataupun sahabat anda di satu-satu lokasi dalam perjalanan anda. Maklumkan juga jika anda mengalami kelewatan atau pun mengalami masalah.

Paling penting pastikan bateri telefon dicaj sepenuhnya.

5. Pandu dalam keadaan berjaga-jaga

Jika menghampiri keadaan ataupun situasi berbahaya (peragut biasanya bertindak sewaktu berhenti di lampu istarat) sentiasa rancang laluan untuk memudahkan anda bertindak atau memecut kereta.

Oleh sebab itu juga, cuba untuk tidak terlalu rapat dengan kenderaan di hadapan. Sekiranya diancam oleh pemandu lain atau pembuli jalan raya, catat nombor kenderaan mereka dan buat laporan polis.

Abdul Rani Kulup juga mesra disapa Ayah

6. Jika kenderaan rosak?

Jangan sesekali cuba baiki kerosakan sendirian kerana ini mendedahkan anda kepada bahaya. Buat panggilan untuk bantuan daripada bengkel atau sesiapa dikenali.

Sebaiknya jangan cepat menerima bantuan orang tidak dikenali dan cuba duduk di bahagian penumpang ketika menunggu bantuan kerana ia dapat memberi gambaran yang ada orang lain dengan anda.

Tetapi jika kereta rosak di lebuh raya, jangan menunggu di dalam kereta kerana risiko kenderaan dilanggar kereta lain cukup tinggi.

7. Pilih tempat parkir sesuai

Pastikan tempat anda pakir kereta anda ditempat tidak tersorok dan sunyi. Pencahayaan juga mesti cukup baik dan CCTV merupakan satu bonus.

Berhati-hati dengan barangan di dalam kereta anda dan jangan sesekali meninggalkan barangan berharga di dalam kereta.

Pemandu wanita biasanya gemar menghias kereta dan kalau boleh elakkan kerana ini juga menarik perhatian orang tidak dikenali termasuk peragut. Apa kata cuba letak stiker Abdul Rani Kulup!

Wanita seharusnya berhati-hati ketika memandu.

8. Berhati-hati dengan persekitaran

Sewaktu menghampiri kenderaan anda pastikan kunci sudah berada di tangan. Jangan terhegeh-hegeh mencari kunci sewaktu berada di tepi kereta.

Perhatikan juga sesiapa yang ada berdekatan. Perhatikan juga kereta anda sama ada ia dalam keadaan normal.

Jika terasa ada sesuatu tidak kena atau pun berasa tidak sedap hati segera beredar dan dapatkan bantuan sesiapa yang dipercayai.

9. Elakkan provokasi

Sikap pemandu biasanya berubah sebaik memegang stereng. Jaga kelakukan di atas jalan raya, jika ada sesiapa melakukan provokasi, catatkan saja nombor pendaftaran mereka dan buat laporan polis.

Jangan membalas provokasi mereka kerana ia mungkin mendatangkan masalah lain.

10. Jangan panik

Serangan ke atas pemandu wanita sebenarnya tidaklah kerap berlaku dan anda tidak perlu berasa paraniod tetapi persediaan yang anda lakukan mampu menyelamatkan anda.

Wanita, Memandu, Kempen, Bosch

Artikel Lain