suria

Pupuk minat membaca bukan sekadar guna buku tapi ada cara lain yang lebih menyeronokkan!

Kanak-kanak hari ini lebih cenderung menghabiskan masa menggunakan komputer tablet atau telefon pada waktu lapang berbanding membaca buku. Foto Sekadar Hiasan

IBU bapa hari ini menghadapi cabaran besar dalam memupuk minat membaca dalam diri anak-anak mereka terutama bagi mendorong mereka supaya lebih menggemari buku berbentuk ilmiah.

Mana tidaknya, kanak-kanak hari ini lebih cenderung menghabiskan masa menggunakan komputer, tablet atau telefon pada waktu lapang sehingga mengabaikan perkara lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Wang saku dapat bentuk keperibadian anak... cubalah dulu baru tahu!

Pakar motivasi kekeluargaan Dino Goh memberitahu antara sebab anak-anak hilang minat terhadap sesuatu perkara kemungkinan disebabkan sikap ibu bapa yang jarang mendedahkan mereka kepada aktiviti luar.

Ini menyebabkan mereka mula mencari jalan keluar sendiri - dan paling mudah adalah gajet.

Pun begitu, itu bukanlah pengakhiran kepada masalah itu sebaliknya ibu bapa perlu melihat kecenderungan anak-anak terhadap gajet sebagai peluang untuk memupuk minat mereka bukan sahaja terhadap buku malah perkara lain yang menyeronokkan.

Dino turut berkongsi beberapa tips yang boleh dilakukan ibu bapa bagi menggalakkan anak-anak membaca dan paling penting ia bukan sekadar menerusi buku.

1. Membaca melalui pengalaman

Selain meminta mereka membaca buku yang disediakan, Dino memberitahu ibu bapa juga perlu meluangkan masa untuk mendengar anak-anak bercerita tentang aktiviti seharian mereka.

"Kanak-kanak biasanya memang suka bercakap dan bercerita. Jadi apa kata ibu bapa ambil peluang untuk mendengar cerita mereka walaupun ia tentang pengalamannya membeli ais krim.

"Menerusi cara itu juga, ibu bapa dapat melatih teknik komunikasi dan membina keyakinan dirinya," katanya.

2. Melancong

Setiap kanak-kanak pasti suka jika pergi melancong tetapi jangan jadikan aktiviti ini sebagai sekadar percutian tanpa makna.

Sebaik-baiknya masukkan dalam senarai untuk berkunjung ke tempat-tempat bersejarah seperti muzium bagi memberi mereka pendedahan.

"Selalunya dengan cara ini anak-anak lebih mudah tangkap berbanding hanya membaca buku sejarah yang mungkin membosankan!," jelasnya.

Melancong juga boleh memberikan pendedahan kepada anak-anak tentang persekitaran dan budaya berbeza.

3. Gajet bukan sekadar main game, menonton kartun

Memandangkan anak-anak gilakan gajet, apa kata biarkan anak-anak guna ketika bercuti atau melakukan aktiviti biasa seperti bersenam atau bersiar-siar di taman?

Beri mereka tugasan untuk mengambil gambar atau video menarik dan minta mereka menulis tentang pengalaman itu sama ada menggunakan kertas atau pun dalam telefon.

Dengan cara ini, anak-anak tidak akan hanyut dengan permainan video sahaja sebaliknya ada aktiviti lebih bermanfaat boleh dilakukan menggunakan gajet mereka.

4. Buku berbentuk audio dan digital

Sesuai dengan minat anak-anak terhadap gajet, apa kata muat turun buku kegemaran mereka secara digital yang ada di antaranya bersifat interaktif seperti mempunyai suara, pergerakan dan sebagainya.

Itu juga yang dilakukan oleh pihak MBO Cinemas dan Me Books Asia yang melancarkan buku cerita bertemakan adiwira berjudul Unleash The Superhero In You yang menyampaikan mesej tentang kekuatan, karisma dan sifat seorang figura berkuasa.

Penerbitan buku cerita ini bertujuan untuk memupuk nilai-nilai penting dalam diri kanak-kanak di samping penyediaan pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan di Kecil Halls MBO Cinemas yang khusus untuk keluarga.

MBO Cinemas dan Me Books Asia bekerjasama menghasilkan Unleash The Superhero In You.

Malah Dino memberitahu, ibu bapa juga boleh memainkan peranan dengan melakukan aktiviti menyeronokkan dalam menggalakkan anak-anak membaca buku tersebut.

"Memandangkan ia mengenai adiwira, apa kata ibu bapa libatkan diri dengan melakukan aktiviti role play dengan memainkan watak dalam buku itu dan bukannya sekadar mendengar mereka membaca," ujarnya lagi.

Bukan sahaja tampil dalam bentuk audio yang boleh didapati dalam aplikasi Me Book Plus, Unleash The Superhero In You turut datang dalam bentuk fizikal yang dijual pada harga RM50.

Hasil daripada hasil jualan buku itu akan disumbangkan kepada Yayasan Pendidikan Little Yellow Flower yang akan memberikan manfaat kepada kanak-kanak kurang bernasib baik yang tidak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

5. Sediakan perpustakaan mini di rumah

Dalam memupuk sesuatu tabiat itu semuanya perlu bermula di rumah. Ibu bapa disarankan untuk membina sebuah perpustakaan mini di rumah dengan menghimpunkan pelbagai buku kegemaran anak-anak.

Ruang ini juga boleh dijadikan tempat santai bersama keluarga selain melakukan aktiviti menyeronokkan.

Artikel Lain